SAR mangsa banjir lumpur di Telemong, Bentong diteruskan

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kelima kejadian banjir lumpur di Telemong, di sini diperluaskan kepada lima kilometer radius kawasan pencarian.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Sufian Yakub berkata ketika ini operasi SAR memfokuskan kawasan seberang sungai, melibatkan dua buah bot penyelamat dengan kekuatan 20 anggota bomba dan polis.

“Operasi diperluaskan ke kawasan hilir sungai dan mencari di kawasan seberang sungai,” katanya lapor Bernama.

Selain itu, Sufian berkata 51 sukarelawan yang terdiri daripada orang kampung Felda Chemomoi, di sini turut membantu misi SAR itu.

Semalam, empat mayat warga tempatan ditemukan dalam insiden banjir lumpur di Telemong, di sini.

Terdahulu Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Telemong Lai Wah Foong berkata laluan masuk ke tempat kejadian sebelum ini tidak boleh dilalui susulan kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Sementara itu, wanita yang hilang dalam kejadian banjir lumpur di Chalet Bobby Echo Camp, Bentong, Sabtu lalu sebelum ditemui maut pagi tadi, dikenal pasti sebagai Yap Koon Lan, 65.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata mayat mangsa ditemui pada jam 10.15 pagi, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

“Mayat dijumpai oleh pasukan penyelamat di bawah sisa balak dan pasir. Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa,” katanya hari ini.

Media semalam melaporkan, tiga individu hilang dihanyutkan arus sungai di sebuah chalet di Bentong, menjelang tengah malam pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, 35 orang termasuk sembilan kanak-kanak dilaporkan terkandas dalam kejadian banjir lumpur yang menenggelamkan restoran dan tiga kolam ternakan ikan patin, manakala pagar utama chalet turut roboh.

Operasi digerakkan pihak berkuasa berjaya menyelamatkan 32 individu, manakala tiga lagi hilang.

Pasukan mencari dan menyelamat dilapor mengenal pasti dua ‘hot spot’ yang dipercayai terdapat mangsa tragedi itu, iaitu di bawah rumah dan di bawah timbunan kayu balak.

BERITA BERKAIT
POPULAR