Sapura diyakini mampu dipulihkan, tak sebodoh Najib ditipu Jho Low: Rafizi

Rafizi Ramli menaruh kepercayaan pimpinan atasan Sapura Energy Bhd berkemampuan untuk memulihkan syarikat tersebut daripada kemelut kewangan yang dihadapi ketika ini.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata terdapat tokoh hebat kewangan dan korporat yang berada dalam Sapura, sambil menyifatkan mereka merupakan individu yang hebat tidak seperti Datuk Seri Najib Razak yang bodoh mudah ditipu Low Taek Jho atau Jho Low.

“Mereka lebih cerdik dan mempunyai kepakaran dalam bidang mereka berbanding Najib. Mereka tidak pernah mendakwa mereka bodoh sehingga boleh ditipu berbilion ringgit oleh seorang budak bernama Jho Low.

“Lebih penting, mereka dikenali sebagai profesional dan jujur. Mereka menerima permintaan Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk menyelamatkan Sapura Energy kerana mereka patriotik, walaupun mereka boleh bersara begitu sahaja, berbanding Najib yang tidak mahu bersara walaupun telah dijatuhkan hukuman penjara kerana merompak dana pencen rakyat, ” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Najib sebelum ini di mahkamah mendakwa ditipu Jho Low dalam kes yang sedang dibicarakannya.

Sapura diterajui Pengerusi baharu Lembaga Pengarah, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, yang pernah menjadi Presiden dan CEO Petronas.

Pemimpin baru Sapura Energy lain termasuk bekas Pengerusi Shell Malaysia Datuk Mohd Anuar Taib yang pernah mengetuai perniagaan minyak dan gas huluan Petronas sebagai naib presiden eksekutifnya sebelum menyertai Sapura Energy.

Selain itu, turut serta adalah Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang pernah menjadi CEO Shell di rantau ini serta pengerusi Maybank dan FELDA, sebelum dilantik sebagai ahli lembaga pengarah kanan Sapura Energy yang baru.

Rafizi berkata, pengalaman terkumpul tiga pemimpin yang disegani dalam industri ini adalah lebih 100 tahun tetapi yang lebih penting, mereka dikenali sebagai pemimpin yang jujur ​​dan profesional.

“Oleh kerana krisis yang dialami Sapura ini bukanlah unik, kita juga tahu jalan penyelesaian yang telah diambil oleh syarikat-syarikat lain di seluruh dunia yang telah berjaya memulihkan syarikat-syarikat berkenaan.

“Di bawah kepimpinan baru Sapura yang dibarisi tokoh-tokoh profesional ternama negara, saya yakin mereka sedang berusaha sebaik mungkin untuk memulihkan Sapura tanpa mengheret dana rakyat seperti yang didesak oleh Najib,” katanya lagi.

Najib sebelum ini menggesa agar kerajaan menyelamatkan Sapura Energy, dengan mengatakan bahawa PNB akan kerugian RM4 bilion jika syarikat itu dibiarkan muflis.

Pada September 2018, PNB telah meningkatkan pegangannya dalam Sapura daripada 12.16 peratus kepada 40 peratus.

Rafizi kemudiannya mendakwa Najib mengutamakan golongan elit perniagaan dalam mencadangkan agar kerajaan menyelamatkan Sapura.

BERITA BERKAIT
POPULAR