Polis mengingatkan umat Islam supaya tidak cuba merentas negeri tanpa kebenaran semata-mata untuk pulang ke kampung menyambut awal Ramadan, kerana mereka boleh dikenakan saman.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pemeriksaan ketat di semua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri akan dipertingkatkan.
Katanya, hanya mereka yang mempunyai dokumen kebenaran merentas negeri yang lengkap dan diluluskan boleh meneruskan perjalanan.
“Saya percaya hujung minggu ini akan terdapat peningkatan pergerakan di jalan atau lebuh raya untuk pulang ke kampung bagi meraikan hari pertama Ramadan memandangkan tahun lepas mereka tidak dapat pulang kerana Perintah Kawalan Pergerakan.
“Sekiranya anggota atau pegawai polis mengesan individu cuba merentas negeri untuk balik ke kampung, tiada nasihat lagi…ambil tindakan terus,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, penambahan jumlah SJR juga akan dilakukan bergantung kepada jumlah harian kes positif Covid-19 yang dilaporkan.
“Jika jumlah kes positif Covid-19 meningkat, kita akan tambah SJR dalam usaha meminimumkan pergerakan individu atau kenderaan agar penularandapat dikekang,” katanya.