
Bekas staf penyelidik Anwar, Yusoff Rawther membuat tuntutan saman terhadap Setiausaha Akhbar PMX, Tunku Nashrul Tunku Abaidah.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memfailkan pembelaan dalam saman cabul oleh seorang lelaki yang juga bekas stafnya, Muhammed Yusoff Rawther sebelum 28 September ini.
Keputusan tersebut diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, sementara Yusoff pula diberikan tempoh sehingga 13 Oktober untuk memberikan jawapan balas kepada pembelaan itu.
Keputusan itu dibuat Timbalan Pendaftar Ida Mas Liza Maarof semasa pengurusan kes saman tersebut hari ini dengan sesi seterusnya ditetapkan pada 29 Oktober.
Pada 15 Julai lalu, Yusoff bertindak memfailkan tuntutan saman dan mendedahkan beberapa maklumat yang sensitif dalam tuntutannya terhadap Presiden PKR itu.
Dua tahun lalu, Yusoff membuat laporan polis terhadap Anwar itu berhubung tuduhan sama, namun kes tersebut digugurkan Peguam Negara era pentadbiran Pakatan Harapan waktu itu, Tommy Thomas.
Untuk rekod, Anwar setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tuntutan saman daripada bekas stafnya itu.
Dalam tuntutan saman tersebut, Yusoff memohon mahkamah mengatakan Anwar itu melakukan serangan seksual, selain gantirugi am, setimpal dan “aggravated damages” yang turut memasukkan kos sesi-sesi terapi yang dihadirinya ketika ini.
“Satu deklarasi bahawa Defendan (Anwar) telah melakukan atau memperlakukan serangan seksual dan/ atau beberapa perbuatan menceroboh ke atas diri Plaintif pada 2.10.2018 dan bahawa Plaintif adalah berhak untuk mendapatkan perlindungan di bawah undang-undang selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, tanpa mengambil kira status Defendan,” kata pernyataan tuntutan relief yang dikemukakan itu.
Terdapat sembilan tuntutan semuanya daripada Yusoff terhadap Anwar, selain menuntut ganti rugi khas RM180 setiap sesi terapi dan yang masih terakru.
Yusoff, yang merupakan cucu kepada aktivis pengguna terkemuka SM Mohamed Idris, berkata dia diperkenalkan kepada Anwar ketika pemimpin PKR itu melawat rumah arwah datuknya di Pulau Pinang pada 2 September 2019, kurang dari empat bulan selepas beliau dikurniakan pengampunan diraja bagi sabitan kes liwat.
Yusoff berkata sepanjang pertemuan tersebut, Anwar memberikan sebuah iPhone untuk dimasukkan butiran kontak, dan menawarkan peluang kerja dengan beliau.
“Kira-kira 20 minit selepas Defendan beredar dari kediaman Plaintif, Defendan telah menghantar servis pesanan ringkas (SMS) meminta Plaintif untuk menghubunginya melalui WhatsApp,” kata pernyataan saman tersebut.
Yusoff kemudian berkata mereka berdua mula berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp,dan kandungan penuh perbualan mereka akan didedahkan dalam perbicaraan.
Yusoff yang bekerja di pejabat banglo Anwar di Bukit Gasing, Petaling Jaya, di mana dia turut diberikan tempat tinggal, berkata dia tidak pernah menerima surat rasmi pelantikan namun diarahkan untuk mendapatkan sebarang tugasan melalui ketua kakitangan Abdul Rahman @ Abdul Manaf bin Abdullah.