
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini dilaporkan berkata tidak mahu berdebat dalam isu PSI.
Keputusan kerajaan mengecilkan projek kontroversi melibatkan tambakan laut di Pulau Pinang daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar itu masih tidak boleh diterima.
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman menggesa kerajaan membatalkan terus projek Pulau Pinang Selatan (PSI) itu kerana keluasan yang disebut itu masih berskala besar.
“Keputusan ini masih tidak boleh diterima memandangkan kawasan penambakan terbabit masih sangat besar sekali gus menjejaskan kawasan perikanan dan alam sekitar.
“Selain itu, ia membabitkan jumlah pengambilan pasir yang banyak dari perairan Pulau Pinang termasuk Perak yang dikhuatiri mengakibatkan lebih banyak kemusnahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya meskipun skala pulau buatan itu dikecilkan ia tetap akan menjejaskan nelayan di sepanjang perairan Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Beliau turut berkata projek berkenaan bakal memusnahkan dataran lumpur, terumbu karang selain menjejaskan habitat marin dan mengganggu penghijrahan udang.
Katanya, tiada keperluan kerajaan negeri Pulau Pinang meneruskan PSI kerana kerajaan Persekutuan telah bersetuju menambah dana bagi membolehkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) dilaksanakan segera di negeri ini.
“Tiada sebarang justifikasi untuk itu dan kita mempunyai tanah di Seberang Perai seperti yang diakui sendiri oleh ketua menteri seluas 12,000 hektar jadi batalkan PSI, bukan kecilkannya,” katanya.
Hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan projek PSI dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu pulau sahaja
Menurut Kon Yeow, keputusan itu selari dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini meminta kerajaan negeri mengkaji semula dan memperkecilkan skop tambakan laut bagi projek tersebut.