
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdepan 40 tuduhan jenayah, termasuk rasuah, di Mahkamah Tinggi Shah Alam membabitkan wang lebih SG$13,56 juta.
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa beberapa surat melobi untuk mendapatkan kelulusan dan sokongan berterusan daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk memberikan lanjutan kontrak Ultra Kirana Sdn Bhd bagi pelaksanaan Sistem Visa Asing (VLN) kerajaan, diperlukan untuk memintas birokrasi.
Pengarah UKSB Datuk Fadzil Ahmad, yang juga saksi ke-14 pendakwaan, memberi keterangan sedemikian ketika perbicaraan rasuah VLN Presiden UMNO itu hari ini.
Fadzil sebelum ini diminta menjelaskan mengapa syarikat itu telah menghubungi Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri dalam surat-menyuratnya yang dibuat antara Februari 2016 dan Jun 2017.
“Pihak berkuasa yang berhak membuat keputusan mutlak (mengenai sebarang lanjutan kontrak) terletak pada menteri.
“Kami di UKSB bertindak sewajarnya untuk terus menyampaikan surat kami (kepada menteri) kerana kami berpandangan bertindak secara ‘top-down’ akan mempercepatkan permohonan kami untuk lanjutan kontrak.
“Jika kami sampaikan kepada pegawai di kementerian, kami bimbang akan kekangan masa,” katanya pada pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong, seperti dilapor MalayMail.
Dalam kenyataan saksi, Fadzil mengesahkan beberapa surat yang ditandatanganinya kepada Zahid antara Februari 2016 dan Jun 2017 untuk mendapatkan sokongan, pertimbangan dan kelulusan lanjutan kontrak bagi mengekalkan perjanjian kontrak sedia ada untuk membekalkan VLN bagi kegunaan kerajaan.
Pada masa itu, UKSB telah pun memeterai perjanjian dengan kerajaan Malaysia pada 2012 untuk menyediakan Perkhidmatan Kemudahan Visa dengan mengendalikan beberapa Pusat Sehenti (OSC) di Republik Rakyat China (PRC).
Menurut perjanjian awal, kontrak perkhidmatan syarikat untuk pengurusan VLN berlangsung dari Februari 2013 hingga Oktober 2019 dalam tempoh enam tahun.
Fadzil seterusnya menyatakan bahawa surat yang ditandatanganinya dialamatkan kepada Zahid antara Februari 2016 dan Jun 2017 dalam mendapatkan sokongan dan pertimbangan untuk lanjutan kontrak itu, disampaikan melalui rakan sekerjanya, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani.
Menurut Fadzil, Wan Quoris Shah juga merupakan salah seorang pengarah UKSB dan ditugaskan untuk bertindak sebagai perantara antara syarikat itu dan Zahid.
Bagaimanapun, Fadzil kemudiannya mengakui tidak mengetahui sama ada Wan Quoris telah menghantar sendiri surat yang disediakannya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi mendengar bahawa Presiden UMNO itu bertemu dengan wakil UKSB (didedahkan sebagai Wan Quoris) di rumahnya di Seri Satria, Putrajaya sebelum membuat keputusan menyambung kontrak syarikat untuk VLN selama tiga tahun lagi.
Mahkamah juga kemudian diberitahu bahawa Zahid juga menolak cadangan bahagian Hal Ehwal Imigresen KDN untuk membawa perkara itu ke Unit Perkongsian Awam-Swasta (UKAS).
UKAS ialah agensi Kerajaan Pusat yang berperanan memudahkan dan memastikan pematuhan perkongsian strategik antara sektor awam dan swasta, melalui program Perkongsian Awam-Swasta (PPP).
Dalam pemeriksaan utama Fadzil, beliau menjelaskan syarikat itu membuat keputusan untuk memendekkan tempoh cadangan lanjutan kontrak daripada enam tahun kepada tiga tahun bagi mengelak daripada menjadi subjek pengamatan UKAS.
Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 17 Mei ini.