
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdepan 40 tuduhan jenayah, termasuk rasuah, di Mahkamah Tinggi Shah Alam membabitkan wang lebih SG$13,56 juta.
Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini tidak bersetuju dengan pasukan pembelaan dalam perbicaraan rasuah kontrak sistem visa asing (VLN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa pendakwaan terhadap bekas Menteri Dalam Negeri itu bermotifkan politik dan dibuat secara terpilih.
Penguat Kuasa kanan SPRM V Mahendran, yang juga saksi pendakwaan ke-18 dan pegawai penyiasat yang ditugaskan dalam kes itu, membuat penegasan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Datuk Ahmad Zaidi Zainal.
Ahmad Zaidi: Saya sampaikan kepada Tuan Mahendran, bahawa pendakwaan terhadap Datuk Seri Zahid didorong oleh pendakwaan terpilih, setuju atau tidak?
Mahendran: Tidak setuju.
Ahmad Zaidi: Saya nyatakan kepada anda bahawa pendakwaan terhadap Datuk Seri Zahid adalah pendakwaan bermotifkan politik, setuju atau tidak?
Mahendran: Tidak setuju.
Ahmad Zaidi kemudian menyoal balas saksi itu sama ada mereka yang dinamakan dalam lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk tujuan simpan kira pembayaran tunai yang dibuat kepada pelbagai ahli politik, kakitangan kerajaan dan Zahid sendiri, telah dipanggil untuk disoal siasat.
Peguam itu sebelum ini memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki seperti yang dilaporkan dalam media bulan lepas bahawa agensi itu telah pun memanggil individu tertentu untuk dirakamkan kenyataan mereka.
Memetik laporan MalayMail, Mahendran bagaimanapun menjawab beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.
Antara yang dinamakan dalam lejar sebagai penerima bayaran tunai termasuk bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri Kabinet semasa Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; bekas menteri Kabinet Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Anifah Aman, Tan Sri Ong Ka Chuan dan Tan Sri Chan Kong Choy; serta Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan.
Bagaimanapun, kesemua mereka telah menafikan menerima bayaran itu.
Masih dalam pemeriksaan balas, Mahendran juga berkata individu berprofil tinggi lain yang didakwa menerima sumbangan kewangan yang dinamakan dalam lejar itu tidak didedahkan kepada pendakwa semasa pelbagai taklimat diadakan kerana mereka tidak berkaitan dengan kes yang ditugaskan kepadanya.
Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa tiada bukti dokumentari lain yang menyokong pertuduhan yang difailkan terhadap Zahid kecuali lejar dan keterangan saksi dari UKSB.
Seorang lagi peguam bela, Hamidi Mohd Noh turut menyatakan kepada saksi dan sifat siasatan yang tidak lengkap memandangkan mereka yang dinamakan dalam lejar tidak disiasat atas dakwaan salah laku.
Mahendran bagaimanapun memberi jawapan negatif.
Semalam, Mahendran sekali lagi mengekalkan keterangannya bahawa orang lain yang dinamakan dalam lejar UKSB, termasuk dakwaan perantara kepada beberapa individu berprofil tinggi berhubung pembayaran tunai yang dibuat, tidak disiasat kerana mereka bukan tumpuan siasatan beliau.
Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, dia didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya.
Presiden UMNO itu didakwa melakukan semua perbuatan berkenaan di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung.