
Bekas Presiden UMNO yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Najib, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.
Sebanyak £8.7 juta (pound sterling) ditukar kepada lebih RM45 juta dalam seorang akaun persendirian 880 antara 21 Okt dan 19 Dis 2014 milik Datuk Seri Najib Razak.
Pertukaran sejumlah mata wang asing itu diberitahu saksi AmBank yang mendedahkan penukaran £8,706,021.92 pound sterling kepada RM45,837,485.70 dilakukan melalui lima transaksi melibatkan akaun AmBank 2112022011880, menurut laporan Malaysiakini.
Naib Presiden Jabatan Operasi Perbendaharaan bank itu, Salmah Daman Huri berkata tidak mengetahui identiti akaun tersebut kerana tidak mempunyai akses kepada identiti akaun pelanggan peribadi.
Jawapan itu diberikan semasa soal balas dengan peguam bela kepada bekas Perdana Menteri itu, Wan Aizuddin Wan Mohammed apabila Salmah mendedahkan hanya mengetahui identiti pemegang akaun itu ialah Najib, selepas kenyataannya direkodkan oleh Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekitar 2018.
Jelasnya, pertukaran matawang asing itu melibatkan pemindahan daripada Vista Equity International Partners ke dalam akaun 880 di bawah nama AmPrivate Banking 1MY.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa Vista Equity, yang berpangkalan di Seychelles, didakwa dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).
Wan Aizuddin: Amprivate MR (akaun 880), adakah anda tahu identiti pemegang akaun?
Salmah: Semasa transaksi, saya tidak tahu.
Wan Aizuddin: Anda baru tahu selepas siasatan?
Salmah: Ya, melalui pegawai penyiasat.
Saksi itu juga memberi keterangan bahawa dia tidak dapat mengesahkan transaksi pertukaran asing tersebut benar-benar datang daripada Najib kerana jabatannya berurusan dengan pengurus perhubungan pemegang akaun berhubung transaksi berkenaan.
Semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Najwa Bistamam, Salmah berkata sepanjang pengetahuannya, pihaknya tidak pernah menerima sebarang ‘laporan’ daripada Najib berhubung urus niaga pertukaran asing yang banyak itu.
Difahamkan, ‘laporan’ di sini merujuk kepada sebarang input atau aduan daripada Najib berhubung urus niaga pertukaran mata wang asing itu.
Pada Khamis minggu lalu, Salmah memberi keterangan AmBank menukar AS$710 juta kepada RM2.1 bilion untuk seorang pelanggan persendirian.
Keterangannya hari ini menambah bahawa transaksi tersebut (yang diberitahu melalui keterangan minggu lepas) serta transaksi tambahan dalam keterangannya hari ini melibatkan akaun Najib.
Pada 17 Mei, bekas ketua pegawai kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir bersetuju dengan pendakwaan bahawa lebih RM45 juta dana daripada syarikat pelaburan negara masuk ke akaun 880 Najib melalui lima pemindahan antara Oktober dan Disember, 2014.
Urus niaga RM45 juta yang melibatkan akaun 880 itu menjadi subjek tiga daripada empat pertuduhan salah guna kuasa yang dihadapi Najib.
Najib, 67, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.
Ahli Parlimen Pekan itu juga didakwa atas 16 tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore berjumlah RM2,196,786,711.87.
Najib turut didakwa dengan lima tuduhan, menggunakan hasil daripada aktiviti haram untuk disalurkan kepada lima pihak.
Ia membabitkan RM20,000,000 kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO); UMNO Bahagian Batu Kawan (RM100,000); ahli perniagaan, Lim Soon Peng (RM246,000); ORB Solutions Sdn. Bhd (RM2,000,000) dan Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM303,000).
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah diteruskan petang ini.