
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdepan 40 tuduhan jenayah, termasuk rasuah, di Mahkamah Tinggi Shah Alam membabitkan wang lebih SG$13,56 juta.
Seorang bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO, adalah penerima tidak langsung sumbangan kewangan untuk UMNO bahagian Rembau.
Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, yang juga saksi ke-16 pihak pendakwaan, mendedahkan perkara itu semasa pemeriksaan balas, dalam perbicaraan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung sistem visa luar negara (VLN).
Ketika pemeriksaan utama, Wan Quoris, juga seorang ahli UMNO, memberitahu bahawa jumlah antara RM50,000 dan RM200,000 telah diberikan kepada Khairy untuk bahagian UMNO Rembau bagi tujuan rasmi politik, kemanusiaan dan sosial yang diuruskan parti itu.
Khairy kini merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau tetapi pernah mengetuainya sebelum ini.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Wan Quoris mengesahkan kepada mahkamah hubungan rapatnya dengan Khairy dan menjelaskan sumbangan kewangan itu bukan untuk tujuan peribadi, tidak teratur dan mengikut keadaan.
“KJ adalah pemimpin negara dan jika berlaku bencana, saya akan membantu dari segi program bantuan bencana negara dan juga pilihan raya kecil,” katanya, menggunakan huruf awal Khairy.
Ketika diminta menjelaskan perbezaan sumbangan yang dibuat kepada bahagian Khairy dan Zahid, Wan Quoris menjelaskan bahawa yang pertama (Khairy) tidak mempunyai hubungan dengan kontrak VLN sedangkan yang kedua (Zahid) terlibat secara langsung dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Yang pasti Khairy tiada kaitan dengan VLN… jadi tidak perlu peruntukan besar, kedua VLN berkaitan KDN di mana Zahid adalah menteri yang bertanggungjawab dan juga Timbalan Presiden UMNO pada masa itu… jadi tanggungjawabnya lebih besar,” katanya.
Menjawab soalan berikutnya, Wan Quoris juga memberitahu bahawa adalah “jarang” Zahid menolak daripada memberi sebarang bentuk bantuan kepada UKSB berhubung kontrak VLN.
Beliau juga berkata UKSB tidak akan pernah memberikan sebarang sumbangan kewangan sekiranya Zahid tidak memberikan sokongan penuh berhubung pelanjutan kontrak VLN.
Sebelum ini, huruf awalan “KJ” terdapat dalam lejar milik UKSB untuk bayaran tunai berjumlah ribuan ringgit yang dibuat kepada beberapa individu berprofil tinggi.
Bagaimanapun, seorang saksi pendakwaan terdahulu dan seorang lagi pengarah UKSB Harry Lee Vui Khiun memberitahu mahkamah dia tidak pasti siapa yang dirujuk dengan huruf “KJ”.
Lee juga memberitahu mahkamah dia mengetahui hubungan rapat antara Wan Quoris dan Khairy, sambil mengesahkan bekas pengarah itu akan meminta dana disediakan, mungkin untuk derma politik.
Dalam kenyataan saksinya, Lee sebelum ini memberi keterangan bahawa bayaran tunai bulanan dalam dolar Singapura yang dibuat kepada Zahid untuk tujuan sumbangan politik telah dilog masuk dalam lejar milik bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan.
Lee juga sebelum ini memberi keterangan bahawa dia membawa Wan Quoris sebagai pengarah UKSB, kerana mengetahui dia adalah orang UMNO dan memerlukan hubungan dalam UMNo untuk memudahkan komunikasi dengan Zahid yang merupakan Menteri Dalam Negeri antara 2014 dan 2018.
Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.
Beliau didakwa melakukan semua perbuatan itu di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.