Saksi kes rasuah terowong Pulau Pinang maut jatuh pangsapuri

Seorang saksi utama kes terowong bawah tanah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ditemui maut selepas terjatuh dari sebuah pangsapuri di Pulau Tikus semalam.

Saksi tersebut yang juga pemaju hartanah, Datuk Ewe Swee Kheng disahkan mati selepas jatuh dari Pangsapuri Palazzo oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong.

Bagaimanapun, tiada butiran lanjut didedahkan berhubung kejadian tersebut.

Swee merupakan Pengarah Urusan Syarikat Pemaju hartanah Ewein Bhd yang berpangkalan di Pulau Pinang.

Beliau pernah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 sebagai sebahagian daripada siasatan projek terowong bawah tanah di Pulau Pinang.

Menurut laporan Sin Chew Daily, Swee jatuh dari tingkat 17 sebuah pangsapuri mewah pada pukul dua pagi dan jatuh dalam kolam renang bangunan berkenaan.

Susulan penahanannya sebelum ini, Ewein Bhd berkata pihaknya atau anak syarikatnya tidak pernah terlibat dalam projek tersebut.

Ketika perbicaraan yang masih berjalan ketika ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Guan Eng berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah berkait projek pembinaan terowong bawah tanah dan jalan utama di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion

Pembinaan terowong sepanjang 7.2km itu dikatakan kononnya bakal menjadi jalan raya bawah laut pertama dalam negara menghubungkan Butterworth dan George Town.

Pembinaannya dijalankan bersama antara kerajaan negeri dan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Sementara itu, SPRM turut mengesahkan Swee adalah saksi pendakwaan kes dan sudah dimaklumkan berhubung kematian beliau hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR