Saksi kes dera Bella akui rakam bukti, buat laporan polis

Rakaman melibatkan remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella dibuat bagi membuktikan wujud berlaku penderaan terhadap penghuni Rumah Bonda, kata seorang saksi m.

Saksi tersebut Zurianty Sudin, 39, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur rakaman itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, tahun lalu dan menafikan berniat membocorkan atau menyebarkan rakaman video itu dalam media sosial bertujuan menarik perhatian umum.

Malah, Zurianty berkata dua laporan polis itu dibuat bagi memastikan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang juga rakan karibnya, ditangkap.

Laporan polis pertama dibuat pada 24 Jun 2021 manakala laporan kedua pada 1 Julai 2021.

“Saya hanya berkawan baik dengan Siti Bainun sehingga Jun 2021, tiada pergaduhan atau perbalahan dengannya.

“Tiada dendam, dengki atau niat jahat tapi saya tidak mahu terus dibohongi, diperbodohkan dan diberikan alasan tidak munasabah oleh dia (Siti Bainun),” katanya sebagai saksi pendakwaan pertama hari ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung Isnin.

Siti Bainun, 30, didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari dan Jun 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 25 November 2021, Siti Bainun turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya remaja sama sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi  pada tempat dan tarikh sama.

BERITA BERKAIT
POPULAR