Saksi kata bukan amalan pintas pegawai atasan cakap dengan PM

September 27, 2022 · Isu semasa

Seorang bekas pegawai Kementerian Kewangan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bukan menjadi amalan lazim untuk seseorang memintas pegawai atasan dan bercakap terus dengan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Mkini, saksi pendakwaan ke-26, Siti Zauyah Md Desa berkata beliau tidak mempunyai akses secara langsung kepada Najib – yang ketika itu juga menjadi Menteri Kewangan – untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap keadaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau memberikan keterangan secara lisan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan membabitkan Najib yang dituduh melakukan kesalahan membabitkan RM2.28 bilion dana milik 1MDB.

Selain bertindak sebagai Menteri Kewangan ketika itu, Najib juga adalah pengerusi lembaga penasihat syarikat terbabit.

Ketika Siti Zauyah menjawab soalan pada sesi pemeriksaan semula oleh Gopal Sri Ram selaluTimbalan Pendakwa Raya, Najib dilaporkan memandang dari kandang tertuduh.

Sebelum ini ketika sesi soal balas oleh pasukan undang-undang Najib, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyatakan rasa hairannya mengapa Siti Zauyah tidak bercakap terus saja kepada Najib untuk membangkitkan pelbagai kekeliruan yang dialaminya.

Pada 20 Jun, Siti Zauyah memberi keterangan, pegawai atasannya – seperti menteri kewangan kedua ketika itu, Ahmad Husni Hanadzlah – enggan terlibat dalam 1MDB.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, pula memberitahunya untuk tidak membangkitkan isu berkenaan Perkara 117 memorandum dan artikel persatuan (M&A) 1MDB.

Perkara 117 itu memperuntukkan persoalan mengenai pelantikan pengarah, ahli pasukan pengurusan kanan dan hal kewangan lain yang memerlukan kebenaran Najib.

Ketika disoal balas pasukan pembelaan Najib, Siti Zauyah memberitahu mahkamah, dia mengaku berasa “takut” kerana ia adalah kali pertama dia diminta memberi keterangan di mahkamah dan sukar untuk berfikir secara lurus apabila diajukan pelbagai soalan.

Berkhidmat selama 30 tahun dalam perkhidmatan awam dan hanya bersara pada 2019, dia berkata, kebiasaannya penjawat awam membangkitkan sesuatu isu kepada pegawai atasan yang paling hampir dengannya, sebelum ia dikemukakan oleh pegawai terbabit kepada Najib.

Siti Zauyah: Saya telah berjumpa menteri kewangan II (Husni) tetapi dia tidak mahu terlibat. Saya tidak boleh memintas bos kerana bukan amalan pegawai (kerajaan) pergi terus kepada perdana menteri.

Gopal: Anda tidak mempunyai akses langsung kepada perdana menteri (Najib)?

Siti Zauyah: Tidak.

Prosiding di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Mengikut fakta kes:

Pada 20 September 2018, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion melibatkan dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Najib, 65, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi, sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai barisan pembelaan.

Bagi kes rasuah, mengikut pertuduhan pertama Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM60,629,839.43 dengan mengambil empat tindakan pada 24 Februari 2011 dan 14 Jun 2011, di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur, iaitu:

  • Pada 1 April 2009, di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya melalui memorandum daripada Menteri Kewangan, Najib telah mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri supaya Kerajaan Malaysia memberi jaminan kepada Terengganu Investment Authority Berhad (TIA). Jaminan itu bagi membolehkan TIA mendapatkan pinjaman sehingga RM5 bilion daripada pasaran domestik dan luar negara melalui Islamic Medium Term Notes Programme.
  • Pada 29 Julai 2009, di tempat sama, Najib pada 3 April 2009 telah memutuskan supaya Kerajaan Persekutuan mengambil alih TIA dan selanjutnya telah menyebabkan nama TIA ditukar kepada 1Malaysia Development Bhd yang mengenainya dia mempunyai kepentingan secara langsung.
  • Pada 26 September 2009, Najib telah mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB yang mengadakan satu Mesyuarat Khas di The Royale Bintang, Damansara, Petaling Jaya, untuk meluluskan satu resolusi membenarkan 1MDB untuk menyertai satu usahasama bersama PetroSaudi International Limited dengan membuat pelaburan sebanyak RM1 bilion saham biasa dalam syarikat itu pada harga AS$1 setiap saham.
  • Pada 16 Mei 2011, di Pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, Najib telah menyebabkan Lembaga Pengarah 1MDB untuk meluluskan satu ‘Circular Resolution’ yang membenarkan satu pelaburan tambahan sebanyak RM1 bilion (atau dengan nilai yang bersamaan dalam AS$) di bawah Murabaha Financing Agreement bertarikh 31 Mac 2010 dibuat di dalam 1MDB Petro Saudi Limited.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib didakwa antara 31 Oktober 2012 dan 20 November 2012, di tempat sama, atas jawatan sama telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya berjumlah RM90,899,927.28 dengan mengambil dua tindakan, iaitu:

  • Pada 9 Februari 2012, di Pejabat 1MDB, sebagai selaku Menteri Kewangan telah meluluskan 1MDB yang mengenainya dia secara langsung mempunyai kepentingan melalui 1MDB Energy Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat milik penuh 1MDB untuk menawarkan bidaan bagi tujuan cadangan pengambil alihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd pada harga bidaan sebanyak RM10.6 bilion.
  • Pada 10 Ogos 2012, di tempat sama, sebagai selaku Menteri Kewangan telah meluluskan pengambilalihan ekuiti Syarikat Mastika Lagenda Sdn Bhd dengan harga pembelian agregat sehingga RM2.75 bilion dan selanjutnya meluluskan 1MDB, yang mengenainya dia secara langsung mempunyai kepentingan untuk melaksanakan penerbitan ‘10-Year Structured Loan Note’ bernilai AS$1.75 bilion.

Bagi pertuduhan ketiga pula, bekas Presiden UMNO itu didakwa antara 22 Mac 2013 dan 10 April 2013, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan untuk dirinya sendiri berjumlah RM2,081,476,926 melalui dua tindakan, iaitu:

  • Pada 25 Februari 203, di Pejabat 1MDB, sebagai Menteri Kewangan telah meluluskan 1MDB, yang mengenainya dia secara langsung mempunyai kepentingan untuk memasuki satu perjanjian usahasama dengan Aabar Investment PJS.
  • Pada 14 Mac 2013, telah meluluskan ‘Letter of Support’ kepada 1MDB global Investment Limited bagi tujuan sokongan kepada terbitan bon berjumlah AS$3 bilion bagi pihak 1MDB, yang mengenainya dia secara langsung mempunyai kepentingan.

Bagi pertuduhan keempat, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri Malaysia, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat (1MDB) telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM49,930,985.70 dengan cara mengambil tindakan seperti berikut:

  • Pada 20 Ogos di Pejabat 1MDB, dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, telah mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB untuk meluluskan 1MDB Energy Holdings Limited untuk membuat pinjaman melalui ‘Term Loan Facility’ sehingga AS$975,000,000 daripada Deutsche Bank AG bagi tujuan terbitan 1MDB Eenergy Group IPO, yang mengenainya dia secara langsung mempunyai kepentingan.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 23 Jun 2014 dan 19 Disember 2014.

Bagi kempat-empat pertuduhan itu, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada tarikh sama Najib turut dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas 21 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion.

Bagaimanapun, Najib mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama hingga kesembilan, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM2,081,476,926 daripada akaun bernombor 8550299001 milik Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke dalam akaun AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022009694 miliknya.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 22 Mac hingga 10 April 2013.

Bagi pertuduhan ke-10, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu dengan memindahkan hasil daripada aktiviti haram sejumlah RM652,600,000 daripada akaun AmIslamic Bank bernombor 2112022009694 miliknya ke dalam akaun bernombor 8550299001 milik Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura.

Najib didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama pada 2 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan ke-11 dan ke-12, dia didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu dengan menggunakan hasil daripada aktiviti haram, masing-masing RM20,000,000 melalui cek AmIslamic Bank Berhad bernombor 571854 untuk pembayaran kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan RM100,000 melalui cek AmIslamic Bank Berhad bernombor 571857 untuk pembayaran kepada UMNO Bahagian Batu Kawan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini pada 2 Ogos dan 7 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan ke-13, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menggunakan hasil daripada aktiviti haram sejumlah RM246,000 melalui cek AmIslamic Bank Berhad bernombor 571858 untuk pembayaran kepada Lim Soon Peng, 63, di tempat sama pada 7 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan ke-14, dia didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu menggunakan hasil daripada aktiviti haram sejumlah RM2,000,000 melalui cek AmIslamic Bank Berhad bernombor 571859 untuk pembayaran kepada ORB Solutions Sdn Bhd di tempat sama pada 12 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan ke-15, Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu dengan menggunakan hasil daripada aktiviti haram sejumlah RM303,000 melalui cek bernombor 571856 untuk pembayaran kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd di tempat yang sama pada 14 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan ke-16 hingga ke-19, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu memindahkan hasil daripada aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM1,381,750,000 daripada akaun AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022009694 miliknya ke dalam akaun bernombor 8550299001 milik Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat sama pada 15 Ogos hingga 23 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan ke-20 dan ke-21, bekas Pengerusi Barisan Nasional itu didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM162,436,711.87 daripada akaun AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022009694 miliknya ke dalam satu lagi AmIslamic Bank miliknya bernombor 2112022011880.

Kesalahan dilakukan di tempat sama pada 27 Ogos dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan
RM4 juta masuk akaun Najib dari syarikat berkait Jho Low: Saksi
3 jam lalu· Isu semasa
KJ ungkit kenyataan Azalina ‘peguam negara orang PM’, sindir kes rasuah Zahid
18 jam lalu· Politik
Rayuan difailkan berhubung pembebasan kes rasuah Bung Moktar dan isteri
September 19, 2023· Isu semasa
AS$30 juta masuk akaun Najib daripada syarikat samaran: Saksi
September 19, 2023· Isu semasa
Popular
Ribuan peniaga diramal gulung tikar ekoran kenaikan harga bahan mentah: Laporan
September 20, 2023
Kemalangan treler: Pekerja Pos Malaysia dan Mahkamah Ampang dikenal pasti maut
September 20, 2023
Zaid Ibrahim disiasat bawah Akta Hasutan, diambil keterangan
September 21, 2023
Pemandu bas sekolah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana meliwat
September 20, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Zaid Ibrahim disiasat bawah Akta Hasutan, diambil keterangan
3 jam lalu · Isu semasa
Kemalangan treler Putrajaya: Pemandu direman empat hari
3 jam lalu · Isu semasa
Penagih dadah meningkat 27 peratus, kata AADK
6 jam lalu · Isu semasa
Kemalangan treler: Pekerja Pos Malaysia dan Mahkamah Ampang dikenal pasti maut
19 jam lalu · Isu semasa
Pemandu bas sekolah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana meliwat
19 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Susah senang bersama, PN tidak akan khianat pengundi sertai kerajaan PH-BN
2 jam lalu
[VIDEO] Rakyat beratur beli beras Rahmah macam negara kita miskin
5 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok