
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga bekas Menteri Kewangan berdepan tuduhan penyelewengan RM2.8 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas setiausaha syarikat bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pendahulunya Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau berkenalan dengan Low Taek Jho atau Jho Low, sebelum menjadi setiausaha syarikat untuk TIA pada 2009.
Lim Poh Seng, 51, berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-18 dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan lebih RM2.3 bilion dana 1MDB.
Bagaimanapun, menurutnya pelantikan dalam 1MDB dibuat atas kelulusan lembaga pengarah (BOD) dan bukan oleh ahli perniagaan dalam buruan Jho Low.
Menurutnya pelantikan itu bukan dibuat oleh mana-mana individu tetapi secara kolektif oleh BOD.
“Jho Low telah menghubungi saya untuk menawarkan beberapa kerja perkhidmatan korporat kepada beberapa syarikat yang disyorkannya, namun saya tidak ingat tahun bila.
“Saya juga tidak ingat apa syarikat yang dia cadangkan itu,” kata saksi berkenaan ketika pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib.
Lim ialah pengurus besar B&M Consultancy Services Sdn Bhd dan menyelia operasi harian firma yang menyediakan perkhidmatan kesetiausahaan korporat, dan telah berkhidmat dengan firma ini sejak 1999.
Sebelum TIA diperbadankan secara rasmi sebagai sebuah syarikat pada Februari 2009, Lim mengesahkan bahawa beliau telah menghadiri salah satu mesyuarat jawatankuasa pemandu TIA yang telah diadakan, selepas diminta oleh Jho Low untuk hadir.
Jawatankuasa pemandu TIA telah dibentuk pada akhir 2008 untuk membincangkan penubuhan TIA.
Lim terus menjadi setiausaha syarikat 1MDB sehingga peletakan jawatannya pada 31 Mac 2011, di mana beliau digantikan oleh Goh Gaik Kim dari hari itu dan seterusnya hingga 1 April 2016.
Setelah menyerahkan semua rekod berkaitan 1MDB dan dokumen korporat atau berkanun atau kesetiausahaan kepada Goh, Lim berkata B&M tidak lagi menyimpan atau memiliki sebarang dokumen berkaitan 1MDB.