Saksi dedah RM9.5 juta yang Najib beri kepada peguamnya bukan pinjaman

February 15, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa dua keping cek bernilai RM9.5 juta yang diterima peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada Datuk Seri Najib Tun Razak bukan satu pinjaman.

Bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad, sebaliknya berkata berdasarkan dokumen dan fakta diperoleh semasa siasatan, wang itu adalah bayaran pendahuluan bagi perkhidmatan guaman diberikan Muhammad Shafee kepada bekas Perdana Menteri itu, menurut laporan Bernama.

“Untuk mengatakan ia satu pinjaman adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan ramai akan menukar invois masing-masing kepada pinjaman bagi elak bayar cukai,” katanya.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata demikian semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee pada perbicaraan kes peguam itu yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada LHDN.

Terdahulu, Harvinderjit merujuk kepada saksi berkenaan surat antara Muhammad Shafee dan Najib yang menyatakan bahawa bayaran upah guaman hanya akan ditentukan selepas semua kes berkaitan petisyen pilihan raya selesai.

Berdasarkan surat bertarikh 12 Sept 2013, RM9.5 juta merupakan bil guaman dikenakan oleh firma Shafee & Co, kebanyakannya bagi 46 kes membabitkan petisyen pilihan raya yang Muhammad Shafee bertindak sebagai peguam bagi pihak UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Surat itu turut menyatakan Muhammad Shafee memohon Najib untuk mengeluarkan cek bernilai RM4.3 juta atas namanya sebagai pendahuluan atau pinjaman sebelum bil akhir dikeluarkan untuk kegunaan segera tertuduh selain peguam itu turut memohon sekeping lagi cek bernilai RM5.2 juta dikeluarkan bagi tujuan serupa.

Cek berjumlah RM9.5 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi Muhammad Shafee merupakan jumlah selepas potongan bayaran asal RM11.5 juta.

Ditanya Harvinderjit sama ada saksi itu bersetuju bahawa sekiranya wang RM9.5 juta yang diterima Muhammad Shafee adalah satu pinjaman, ia tidak perlu dilaporkan kepada LHDN sebagai cukai pendapatan, Syed Nasrul Fahmi menjawab “setuju”.

Berdasarkan pernyataan saksi, Syed Nasrul Fahmi berkata Muhammad Shafee gagal melaporkan pendapatan RM9.5 juta yang diterima peguam itu kepada LHDN.

Saksi itu berkata pada ruangan pendapatan tahun kebelakangan yang belum dilaporkan di Borang B Bagi Tahun Taksiran 2013 dan 2014, mendapati Muhammad Shafee tidak pernah melaporkan pendapatan tersebut.

“Tan Sri Shafee telah ingkar mengemukakan borang tersebut mengikut Seksyen 77 (1) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967. Borang itu lewat dikemukakan iaitu lebih kurang sembilan bulan daripada tarikh 30 Jun 2014 dan beliau hanya melaporkan pendapatan perniagaan sebanyak RM3,173,007 dan membayar cukai sebanyak RM264,720.10 bagi Tahun Taksiran 2013 itu,” katanya.

Syed Nasrul Fahmi berkata Borang B Tahun Taksiran 2014 pula perlu dikemukakan kepada LHDN pada 30 Jun 2015 dan LHDN menerimanya pada 29 Jun 2015.

“Beliau (Muhammad Shafee) hanya melaporkan pendapatan perniagaan sebanyak RM3,391,108 dan membayar cukai RM319,959.96 bagi Tahun Taksiran 2014 tersebut,” katanya.

Menurut Syed Nasrul Fahmi, terdapat peninggalan khusus bagi Tahun Taksiran 2013 berkaitan penerimaan bayaran sebanyak RM9.5 juta daripada Najib, dibayar dalam dua cek iaitu RM4.3 juta yang dikeluarkan pada September 2013 dan RM5.2 juta pada Februari 2014.

“Berdasarkan kepada dokumen dikemukakan oleh pembayar cukai (Muhammad Shafee), penerimaan bayaran RM9.5 juta adalah berkaitan bayaran ke atas perkhidmatannya sebagai peguam kepada pihak UMNO dan BN berhubung 46 kes pilihan raya yang dikendalikan oleh beliau pada 2004 dan 2006,” katanya.

Saksi itu berkata berdasarkan kepada peruntukan perundangan tersebut dan merujuk kepada dokumen berkaitan bayaran RM9.5 juta yang diterima Muhammad Shafee, ia merupakan suatu pendapatan diterima daripada aktiviti perniagaan dengan memberi perkhidmatan guamannya.

“Pendapatan tersebut adalah tertakluk kepada pengenaan cukai di bawah Seksyen 4 (a) ACP 1967. Pendapatan RM9.5 juta itu adalah terakru pada Tahun Taksiran 2013 dan Tan Sri Shafee telah gagal melaporkan pendapatan tersebut dalam tahun taksiran berkenaan,” katanya.

Muhammad Shafee didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Muhammad Shafee didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 22 Feb ini.

Berita berkaitan
Pendakwa Raya kata RM9.5 juta pinjaman untuk tutup jenayah Shafee
September 15, 2022· Isu semasa
Keputusan pengubahan wang haram RM9.5 juta Shafee diketahui 28 Okt
September 15, 2022· Isu semasa
Keputusan kes saman LHDN terhadap Shafee tak bayar cukai pada 28 Sept
September 13, 2022· Isu semasa
Khairy sangkal dakwaan ubat diberi kepada Najib ditukar
September 13, 2022· Isu semasa
Popular
Polis siasat penghuni madrasah dakwa didera ala militan: Arjunaidi
September 23, 2022
Najib ke mahkamah sambung kes RM2.28b 1MDB selepas keluar hospital
September 26, 2022
Pengurus bank sahkan lebih RM90 juta masuk akaun peribadi Najib
September 26, 2022
1,608 kes baharu, dua kematian
September 26, 2022
Lagi Isu semasa terkini
Pendakwaan kemuka rayuan pembebasan Zahid: Laporan
3 minit lalu · Isu semasa
Bursa Malaysia ditutup rendah
12 minit lalu · Isu semasa
PAC siasat kelewatan projek 3 kapal OPV, kontrak diberi sejak zaman BN
25 minit lalu · Isu semasa
Dakwaan murid hampir diculik: Polis Perak tubuh pasukan khas siasatan
2 jam lalu · Isu semasa
Jenayah siber: 12,092 kes, RM414.8 juta hilang dari Januari-Julai 2022
2 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Penganalisis ramal OPR naik lagi November depan
2 jam lalu
[VIDEO] Ismail Sabri, PM pertama berucap bahasa Melayu di PBB
September 24, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok