Saksi dedah perbualan WhatsApp Syed Saddiq berhubung wang hilang

June 21, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah berbincang dengan ahli kumpulan nilai tambah WhatsApp mengenai kenyataan yang perlu dikeluarkan kepada media berkaitan kehilangan RM250,000 di kediamannya bagi menutup mulut masyarakat.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Muhammad Taufik Awaludin berkata perbincangan kumpulan WhatsApp tersebut diperoleh daripada laporan forensik yang diambil dalam telefon bimbit Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu ketika itu, menurut laporan Bernama.

“Dalam kumpulan WhatsApp itu juga, YB Syed Saddiq ada membincangkan mengenai naratif bagaimana alasan yang perlu dikeluarkan kepada pihak media mengenai kehilangan wang tersebut.

“Perbincangan itu mengenai kenyataan media yang perlu dikeluarkan bagi menutup mulut masyarakat. Di akhir perbincangan dalam kumpulan WhatsApp itu, YB Syed Saddiq tidak bersetuju dengan cadangan ahli kumpulan dan memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan bahawa sumber wang tersebut adalah daripada ibu, ayah dan beliau sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Muhammad Asyraf Mohamed Tahir pada hari pertama perbicaraan kes Ahli Parlimen Muar itu yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

Saksi pertama pendakwaan itu juga tidak bersetuju dengan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Syed Saddiq, bahawa wang itu adalah daripada ibu dan bapa Syed Saddiq untuk mengubah suai rumah.

Wan Shaharuddin: Mengapa anda tidak bersetuju?

Muhammad Taufik: Saya tidak bersetuju kerana dalam laporan forensik itu juga terdapat perbincangan dalam kumpulan WhatsApp bahawa wang tersebut adalah daripada dana budi bicara yang dahulu pernah dimohon oleh YB Syed Saddiq.

Selepas itu, YB Syed Saddiq berbincang mengenai kenyataan media yang perlu dikeluarkan dan YB Syed Saddiq memilih untuk membuat laporan polis serta mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara itu.

Wan Shaharuddin: Siasatan anda tentang kehilangan duit di rumah YB Syed Saddiq, ada tak kaitan dengan pertuduhan pengeluaran wang RM1 juta?

Muhammad Taufik: Ada.

Muhammad Asyraf kemudian meminta saksi itu menjelaskan kenyataannya bahawa kehilangan wang RM250,000 mempunyai kaitan dengan pertuduhan yang dihadapi Syed Saddiq.

Muhammad Taufik menjawab “Kaitannya adalah tanpa siasatan melibatkan keterangan beberapa saksi, tidak akan jumpa petunjuk bagi pertuduhan lain, oleh itu pertuduhan yang dihadapi YB Syed Saddiq dapat disiasat.”

Dirujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Syed Saddiq, saksi itu berkata laporan tersebut menyatakan bahawa pada 7.51 petang 29 Mac 2020, sejumlah wang tunai iaitu kira-kira RM250,000 dalam peti besi di kediaman Syed Saddiq telah dicuri.

“Tiada sebarang kesan umpil manakala keadaan rumahnya kemas dan telah menetapkan kod rahsia pada peti besi itu dan hanya orang tertentu sahaja mengetahui kod tersebut,” katanya.

Menurut Muhammad Taufik, ibu dan bapa Syed Saddiq juga telah membuat laporan polis berhubung kehilangan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung.

Berita berkaitan
Azmin dakwa rumah terbuka Aidilfitri Bersatu disekat kerajaan Selangor
April 18, 2024· Politik
Pengapungan harga petrol dijangka beri tekanan kepada rakyat, kata Bersatu
April 18, 2024· Politik
Isteri Tun Daim cabar kesahihan pertuduhan SPRM di Mahkamah Tinggi
March 5, 2024· Isu semasa
Jangan jadi ‘orang suruhan’ untuk kepentingan pihak tertentu, kata MB Kedah
January 8, 2024· Berita
Popular
Jangan sewa akaun bank kepada scammer, elak jadi mangsa penipuan
September 20, 2021
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Bantah tulisan Jawi serlah sikap Islamofobia pemimpin DAP
January 19, 2022
Hijrah Diri Jakim bantu LGBT kena serang, dikeluarkan dari Google Play
March 18, 2022
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok