Saksi dedah Jho Low hadir mesyuarat di rumah Najib, ‘sangat rapat’

Seorang saksi kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendedahkan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low beberapa kali menghadiri mesyuarat yang berjalan di rumah bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak.

Saksi tersebut, Mohd Hazem Abdul Rahman yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB semasa memberi keterangan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Jho Low dilihat sangat rapat dengan Najib apabila setiap arahan yang diberikan penjenayah yang dalam pelarian itu akan dituruti.

Menurut laporan portal MalaysiaKini, Hazem yang merupakan saksi pendakwaan ke-10 berkata, Najib dan Jho Low “sangat, sangat rapat” ketika berkomunikasi di Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 2013.

Menjawab soalan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Tan Sri Gopal Sri Ram, Hazem berkata “Jho Low adalah orang PM”.

Sebelum ini, semasa perbicaraan 20 September 2021 lalu, Hazem juga memberitahu melihat Jho Low ada dalam pertemuan ahli lembaga pengarah dan pegawai tertinggi 1MDB di rumah Najib bagi membincangkan berhubung isu audit KPMG melibatkan 1MDB pada 2013.

Sri Ram: Ketika pertemuan di rumah PM, adakah tertuduh melakukan apa-apa untuk memisahkan dirinya dengan Jho Low?

Hazem: Tidak.

Katanya lagi, Najib tidak pernah mengarahkannya untuk tidak mengikut sebarang arahan daripada Jho Low berkaitan soal pengurusan dan kewangan 1MDB.

Hazem juga menafikan ada menerima wang berkaitan transaksi keluar daripada 1MDB.

Sri Ram: Adakah anda menerima manfaat kewangan daripada transaksi?

Hazem: Tidak.

Dalam perbicaraan sebelum ini, pasukan pembelaan Najib berhujah yang Hazem berpakat dengan Jho Low dan beberapa lagi pegawai 1MDB ketika itu dalam pemindahan wang keluar yang meragukan daripada syarikat itu.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

BERITA BERKAIT
POPULAR