
Datuk Seri Najib Razak dibicarakan puluhan pertuduhan berkaitan salahguna dan rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Klausa 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi kuasa kepada Perdana Menteri (PM) untuk meluluskan sebarang keputusan berkaitan syarikat pelaburan sarat hutang itu.
Saksi perbicaraan kes 1MDB melibatkan Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebarang keputusan hanya akan berkuat kuasa dengan kelulusan bertulis PM dan menjelaskan Klausa 117 hanya terdapat dalam syarikat itu tapi tidak dalam syarikat lain bawah MKD.
Timbalan Setiausaha Bahagian di Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) Datuk Siti Zauyah Mohd Desa berkata tidak mengetahui bagaimana Klausa 117 itu dimasukkan kerana ia disediakan lebih awal oleh setiausaha syarikat 1MDB sebelum dipindah milik kepada MKD.
Jelasnya, klausa itu menyatakan sebarang pelantikan dan penyingkiran mana-mana pengarah termasuk pengarah urusan dan pengurusan kanan syarikat, tidak akan berkuat kuasa tanpa mendapat kelulusan bertulis daripada PM.
Ia juga menetapkan sebarang komitmen kewangan (termasuk pelaburan) dan penstrukturan semula yang berkemungkinan menjejaskan jaminan oleh kerajaan bagi faedah syarikat dan kepentingan serta keselamatan negara, juga memerlukan kelulusan bertulis PM.
“Sepanjang pengetahuan saya, artikel yang terkandung dalam dokumen M&A 1MDB seperti artikel 68, 93 dan 117 tidak pernah terkandung dalam mana-mana M&A syarikat MKD yang lain.
“Artikel ini hanya diguna pakai dalam syarikat 1MDB sahaja. Saya ingin nyatakan bahawa penyediaan M&A bagi sesebuah syarikat MKD wajar dirujuk kepada Kementerian Kewangan selaras Akta Menteri Kewangan Diperbadankan 1989.
“Namun begitu, pindaan dalam M&A 1MDB tidak dirujuk kepada Bahagian MKD,” katanya menurut laporan BH.
Siti Zauyah memberikan keterangan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Dalam perbicaraan sebelum ini, Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Najib mempunyai ‘ultimate power’ (kuasa mutlak) dalam membuat keputusan, terutama membabitkan pelaburan, keputusan kewangan dan kepentingan negara membabitkan hal ehwal 1MDB.
Ia selari dengan Artikel 117 M&A 1MDB kerana setiap keputusan penting perlu di bawah arahan dan kelulusan PM.
Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.