Saksi beri keterangan Najib deposit dua cek RM9.5 juta kepada Shafee

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Seorang saksi mendedahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendepositkan dua cek bernilai RM9.5 juta ke dalam akaun bank peribadi milik peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sekitar 2013 dan 2014.

Perkara itu diberitahu Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R.Uma Devi, 42 di Mahkamah Tinggi hari ini yang berkata kedua-dua dikeluarkan oleh Najib pada 5 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

“Berdasarkan penyata akaun Najib, saya mengesahkan terdapat transaksi pengeluaran RM4.3 juta dari akaun Ambank yang bernombor akhir 906 melalui cek kepada Muhammad Shafee.

“Saya mengesahkan bahawa sebelum transaksi pengeluaran berjumlah RM4.3 juta, baki di dalam akaun ini (Najib) adalah berjumlah RM73,400,019.90 manakala baki selepas transaksi pengeluaran sebanyak RM4.3 juta adalah berjumlah RM69,100,019.90,” kata saksi pendakwaan pertama itu dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes Muhammad Shafee yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN).

Dirujuk kepada cek lain berjumlah RM5.2 juta oleh Timbalan Pendakwa Raya S.Nithtia, saksi itu mengesahkan cek tersebut dibayar kepada Muhammad Shafee dan turut mengesahkan bahawa tandatangan di cek berkenaan adalah tandatangan Najib.

“Bagaimanapun, saya tidak mengetahui tujuan kedua-dua cek dikeluarkan oleh Najib kepada Muhammad Shafee,” katanya.

Saksi pendakwaan kedua iaitu Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku, Rosnita Ahmad, 41, pula mengesahkan bahawa terdapat transaksi kemasukan wang sebanyak RM4.3 juta ke dalam akaun milik Muhammad Shafee.

“Saya juga mengesahkan RM5.2 juta telah dimasukkan ke dalam akaun milik tertuduh pada 17 Feb 2014. Baki sebelum transaksi adalah RM33,173.87 dan baki selepas transaksi kemasukan adalah berjumlah RM5,233,173.87,” katanya.

Sebelum perbicaraan bermula, Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee memohon agar anak guamnya duduk di tempat peguam dan bukan di dalam kandang tertuduh.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan itu kerana ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan. Muhammad Shafee kemudian duduk di sebelah anaknya Muhammad Farhan, yang juga peguam dalam kes tersebut.

Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Feb 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Perbicaraan bersambung pada 28 Mei ini.

POPULAR
Kes penghantar makanan pukul pelanggan hina Islam, 6 ditahanJune 12, 2021
LHDN tunggu Najib bayar cukai selama 8 bulan sebelum isytihar bankrapJune 11, 2021
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Tempoh darurat: Kerajaan ambil kira rakyat sebelum nasihat AgongJune 12, 2021
Lebih 4.2 juta sudah terima vaksin Covid-19, kata Menteri KesihatanJune 12, 2021
Kerajaan kaji tetapkan harga siling minyak masak botol 5kgJune 12, 2021