Saksi belot pendakwa rasa Bung Moktar, Zizie Izette diperkena

Saksi utama pendakwaan yang dianggap belot, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa dia berasakan wujud konspirasi untuk mengenakan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Saman, berhubung kes rasuah pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, dalam keterangannya hari ini, berkata ketika kali pertama dipanggil pada 22 Jun 2016 bagi membantu siasatan dan dirakam percakapan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dia sudah berasa ada konsporasi itu.

Dia juga mengekalkan keterangannya di mahkamah sebelum ini bahawa Bung Moktar tidak pernah meminta rasuah RM3.5 juta, bertentangan dengan kenyataan kepada SPRM bahawa wang itu diminta Bung Moktar sebagai upah dalam satu pertemuan di Hotel Intercontinetal pada 4 Mei 2015.

Saksi ke-25 pendakwaan itu mendakwa dia mula mendapat kekuatan untuk memperbetulkan fakta dan menceritakan hal sebenar ketika berjumpa dengan pasukan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) tahun lalu.

Menjelaskan lanjut perasaannya bahawa wujud konspirasi, Norhaili berkata, ketika prosiding soal siasat dan rakaman percakapan buat kali pertama, SPRM memberitahunya bahawa beliau akan dipanggil lagi untuk dirakam percakapan oleh agensi itu dan proses berkenaan akan memakan masa yang lama.

“Saya boleh merasakan (ada konspirasi) pada kali pertama memberikan rakaman percakapan. Pada ketika itu, semua percakapan yang saya berikan tidak diterima,” katanya menjelaskan beliau tidak pasti ayat yang tepat, sama ada karut atau ‘rubbish’ digunakan pegawai SPRM ketika itu, tetapi menyatakan ia berbunyi seperti itu.

Norhaili berkata demikian ketika menjawab soalan peguam, Datuk N Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette pada prosiding menyoal balas saksi itu oleh pendakwaan yang menyifatkan perunding unit amanah berkenaan belot mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950.

Ia berikutan pendakwaan mendapati wujud percanggahan yang material di antara keterangan diberikan saksi itu di mahkamah berbanding rakaman percakapan yang diberikannya kepada SPRM ketika siasatan kes.

Sementara itu, Norhaili berkata, walaupun memberikan rakaman percakapan panjang lebar kepada SPRM, tidak semua yang dinyatakan itu keluar dalam laporan, menyebabkan perasaannya tertekan dan berasa seperti orang bersalah.

Menjawab soalan Ridha Abdah Subri, peguam Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, Norhaili berkata, prosiding itu memakan masa lama di mana beliau menceritakan banyak perkara kepada SPRM, namun hanya sebahagian sahaja yang dirakamkan, namun tidak ingat apa yang tidak dirakamkan kerana kejadian itu sudah lama berlaku.

Katanya, pada temu bual kali pertama itu, pegawai siasatan mengulangi benda yang sama dan sewaktu itu beliau sangat tertekan serta berdoa untuk berjumpa dengan pihak lain selain daripada pegawai SPRM, selain tiada kekuatan untuk membetulkan fakta kerana sangat tertekan.

“Kalau difikirkan, masa beri keterangan pertama, saya sudah fikir macam mana hendak beri keterangan yang sebenar, tetapi pada waktu itu tiada kekuatan kerana rasa tertekan ketika disiasat. Kekuatan itu hanya datang apabila saya dipanggil SPRM dan berjumpa seorang TPR bertudung labuh.

“Saya dapat peluang untuk ceritakan kepada dia bahawa saya tidak setuju dengan keterangan saya berhubung kejadian di Hotel Continental (keterangan bahawa Bung Moktar meminta rasuah wang rasuah RM3.5 juta).

“Selepas tu saya ke pejabat SPRM untuk ubah kenyataan saya kerana TPR itu beritahu, jika saya buat kenyataan palsu, saya boleh dipenjara atau didenda. Saya mempunyai kekuatan untuk membuat pindaan pada 2021,” katanya memetik laporan BH.

Norhaili turut mengekalkan keterangan sebelum ini bahawa wang RM2.8 juta yang diterima Zizie Izette adalah wang pengenalan yang layak diterimanya kerana pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015. Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 28 Mac ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR