
Ketum.
Kajian ketum yang dijalankan seorang saintis Universiti Sains Malaysia (USM) membuahkan hasil apabila berjaya menerima anugerah penyelidikan antarabangsa 4 Ogos lalu.
Prof Zurina Hassan dari Pusat Penyelidikan Dadah USM diberikan dana berjumlah 60,000 euro (RM294,679) selepas menerima anugerah penyelidikan Georg Forster daripada Yayasan Alexender Von Humbolt Jerman dan ditawarkan untuk menyambung penyelidikan di negara tersebut.
Profesor Farmakologi itu yang teruja dengan anugerah tersebut berkata diberi tempoh antara enam hingg 12 bulan untuk melengkapkan kajian tersebut.
“Untuk program ini, saya diberi tempoh enam hingga 12 bulan untuk selesaikan kajian dengan dana sebanyak 60,000 euro disediakan.
“Saya bercadang untuk pergi ke Universiti Erlangen, Jerman bagi memulakan kajian saya pada Januari tahun depan,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Jelasnya, penyelidikan yang dijalankan tertumpu kepada kesan ketum terhadapingatan manusia dan menyebabkan ketagihan.
“Saya nak lihat macam mana ketum akan ‘bekerja’ apabila masuk ke badan manusia, contohnya berapa dos yang boleh menyebabkan ketagihan dan berapa dos yang beri kesan kepada memori manusia,” katanya lagi.
Kajian tersebut sudah dijalankannya sejak sejak 2010.
Selain itu, dia juga berhasrat untuk membawa hasil penyelidikannya berkenaan bunga telang dan potensinya untuk merawat penyakit dementia dan alzheimer untuk dibincangkan di Jerman.
Selain itu, beliau juga pernah dijemput oleh Institut Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (Nida) untuk membentangkan kajian berkenaan ketum di San Diego, Amerika Syarikat.
Penggunaan ketum dikalangan masyarakat dianggap taboo dan menyalahi undang-undang negara, ia bagaimanapun dianggap sebagai penawar bagi sesetengah penyakit dan digunakan dalam perubatan tradisional.