Saifuddin sangkal dakwaan DAP dalam isu ratifikasi ICERD

Datuk Saifuddin Abdullah.

Datuk Saifuddin Abdullah menyangkal dakwaan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook yang mengatakan keputusan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diputuskan oleh beliau semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata ICERD terkandung di dalam manifesto PH dan mantan perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad ada membangkitkan perkara itu di persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2018.

“Meratifikasi International Conventions on Human Rights ada dalam Manifesto PH, dan ada dalam ucapan PM (perdana menteri) di PBB (2018), tapi saya bukan menteri tentang ICERD,” katanya di dalam ciapan twitter rasminya.

Loke sebelum ini mendakwa, bahawa idea untuk meratifikasi ICERD dan Statut Rom merupakan idea Saifuddin dan bukannya idea DAP.

Pada 23 Nov 2018, Saifuddin yang merupakan Menteri Luar ketika itu dipetik sebagai berkata, keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Kabinet.

Mengulas mengenai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Saifuddin berkata keputusan meratifikasi dan kemudian membatalkannya telah diputuskan di dalam Kabinet.

“Kedua-dua keputusan tentang meratifikasi dan lepas itu membatalkan Rom Statut, dibuat di Kabinet dan saya menteri bertanggungjawab,” katanya.

Pada 5 April 2019, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat, sambil menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan disebabkan Statut itu membahayakan negara.

Dr Mahathir berkata Malaysia, yang menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada 4 Mac 2019, dan menyerahkan surat cara berkenaan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari yang sama, boleh menarik balik surat cara itu sebelum Jun.

Setiausaha Agung PBB, bertindak atas kapasitinya sebagai depositori, memaklumkan bahawa penarikan diri Malaysia dari instrumen itu berkuat kuasa pada 29 April 2019.

POPULAR