Sah PKR bingai, kata Najib ulas isu bantuan kepada Sapura Energy

Datuk Seri Najib Razak hari ini menyifatkan PKR sebagai parti yang tidak layak untuk mentadbir negara, kerana tidak memahami bagaimana untuk menjaga rakyat Malaysia.

Bekas Perdana Menteri itu yang mempertahankan desakannya supaya kerajaan menerusi Petronas membantu Sapura Energy, juga berkata PKR tidak boleh dibenar untuk mengurus ekonomi negara.

“Kenyataan PKR berhubung Sapura ini adalah bukti kukuh bahawa parti ini tidak layak mentadbir negara, tidak boleh dibenarkan mengurus ekonomi dan tak faham bagaimana menjaga rakyat. Sah mereka bingai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung, bahawa Sapura bukanlah syarikat berprestasi cemerlang yang amat perlu diselamatkan.

“Sapura bukanlah syarikat berprestasi cemerlang yang amat perlu diselamatkan sebagaimana diperkatakan Najib. Kita sedia maklum harga minyak sudah mencecah AS$ 100 setong sekarang dan kebanyakan syarikat yang berkaitan minyak dan gas sudah mula mencatat keuntungan.

“Namun, bukannya Sapura. Sebenarnya peratusan pelaburan PNB tidak lebih 1% daripada jumlah pelaburannya. Kegagalan Sapura tidak akan menenggelamkan pemilik unit ASB seperti yang cuba ditakut-takutkan oleh Najib,” kata Lee.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli ketika mengulas isu sama berkata beliau akan mencabar setiap idea ekonomi songsang yang dicadangkan Najib.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pandan itu, rekod pentadbiran UMNO/Barisan Nasional (BN), terutamanya semasa Najib menjadi Perdana Menteri, menunjukkan skandal-skandal besar pembaziran wang negara berlaku apabila parti itu merasakan mereka kuat dan tidak tercabar.

Rafizi berkata jika gesaan Najib diberi perhatian, maka peruntukan itu untuk membela segelintir golongan elit, sedangkan wang rakyat itu boleh digunakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan kecil, anak muda, serta memberi pinjaman pendidikan. Berita berkaitan

Mengulas lanjut Najib berkata oleh kerana masalah kecairan kewangan atau kekurangan modal kerja, Sapura tidak dapat mengambil peluang ini biarpun track rekod penyampaian projeknya adalah bagus.

“Amat sayang jika peluang terlepas begitu sahaja hanya sebab modal kerja Sapura tidak cukup – iaitu satu masalah yang mudah diselesaikan.

“Perlu ingat bahawa Sapura masih syarikat perkhidmatan minyak dan gas terbesar di Malaysia dan Asia. Pernah menjadi kedua terbesar dalam dunia dengan nilai RM30 bilion.

“Biarpun nilai Sapura yang telah jatuh rendah ketika ini sudah menjatuh ke bawah 1% daripada jumlah nilai aset PNB sebanyak RM300 bilion, sekiranya Sapura boleh dipulihkan ke puncaknya maka nilai pegangan 40% PNB dalam Sapura akan bernilai sebanyak RM12 bilion.

“Adakah RM12 bilion in satu angka yang kecil?,” soal Najib.

BERITA BERKAIT
POPULAR