[KEMAS KINI] Sagu hati sukarelawan kesihatan naik RM100 sehari: PM

Kerajaan bersetuju menaikkan elaun sagu hati kepada sukarelawan kesihatan yang terbabit dalam proses vaksinasi dan pengurusan Covid-19 daripada RM50 kepada RM100 sehari.

Bercakap pada sidang media selepas meninjau Pusat Penberian Vaksin (PPV) di Dewan Muafakat Bukit Gambir, Tangkak, Johor hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kenaikan itu akan bermula bulan ini.

Beliau berkata seramai 19,000 sukarelawan kesihatan dijangka menerima manfaat sagu hati itu.

Perdana Menteri berkata keputusan menaikkan sagu hati itu memberi implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan berjumlah RM180 juta.

“Hari ini saya mengumumkan kerajaan bersetuju bayaran sagu hati kepada sukarelawan kesihatan ditingkatkan daripada RM50 sehari kepada RM100 sehari. Ia membabitkan sukarelawan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula bulan ini.

“Selain itu, bayaran sagu hati ini turut diperluaskan kepada sukarelawan kesihatan yang bertugas di lapangan, selain dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah (PKRC),” katanya.

Mengenai program imunisasi Covid-19, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan sudah membuat pembayaran pembelian bagi menampung keperluan kepada rakyat, tetapi bekalan masih belum diterima.

Sehubungan itu, katanya, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, sudah diarah supaya meminta pembekal menghantar segera bekalan vaksin itu.

Katanya, langkah itu perlu kerana beliau sudah meninjau beberapa PPV yang sudah dibuka dan diuruskan dengan baik, namun menghadapi masalah bekalan vaksin tidak mencukupi serta perlu ditambah.

“Beberapa PPV juga bersedia meningkatkan kapasiti pemberian vaksin, namun tidak dapat berbuat demikian kerana jumlah vaksin tidak cukup.

“Kerajaan sudah beli dan bayar, namun bekalan vaksin ditempah itu belum sampai, malah seluruh dunia sekarang juga perlukan vaksin,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR