RUU lompat parti tak dibentang Isnin

Kabinet tidak bersetuju dengan cadangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan pada sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata RUU itu sebaliknya akan dihantar dikembalikan untuk kajian lanjut ke atas definisi “lompat parti”.

“Ya, ia telah ditangguhkan,” katanya Wan Junaidi dipetik The Star.

Sebelum ini, Kabinet dilaporkan meminta semakan ke atas RUU itu, lima hari sebelum sidang khas Parlimen diadakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan akan mempengerusikan mesyuarat mengenai RUU itu pada Ahad ini, di mana semua Ahli Parlimen dan senator dipanggil.

Pembentangan pindaan Perlembagaan berkaitan RUU itu disemak bagi memastikan akta antilompat parti tidak melanggar Perlembagaan.

Wan Junaidi bagaimanapun berkata, sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin ini akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU Anti Lompat Parti itu dibentangkan kelak.

Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan majoriti 2/3 ahli Dewan Rakyat.

Keputusan hari ini bermakna RUU itu akan ditangguhkan buat kali kedua.

RUU itu, pada asalnya dijadualkan untuk dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu, hari terakhir sidang pertama Dewan Rakyat pada tahun ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR