
Kerajaan digesa membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat, kata parti komponen Barisan Nasional (BN) hari ini.
MCA dalam satu kenyataan berkata pembentangan tersebut tidak boleh ditangguhkan lagi dan ia perlu diluluskan secepat mungkin, ia selepas pembangkang membuat desakan yang sama sebelum ini sebagai tanda menunaikan janji yang dimerterai dalam memorandum persefahaman (MoU) sebelum ini.
“Di sebalik hakikat bahawa pembaharuan dasar signifikan ini memerlukan pindaan perlembagaan, kerajaan harus menunjukkan keazaman dan komitmennya untuk menyelesaikan sebarang isu teknikal yang timbul,” katanya Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon dalam satu kenyataan hari ini.
Gesaan itu dibuat sehari sebelum persidangan Dewan Rakyat sekarang akan ditangguhkan.
Terdahulu di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan mahupun dari pembangkang menggesa supaya undang-undang baru itu dibentang.
Baru-baru ini, Menteri Undang-undang Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kabinet memutuskan bahawa RUU itu masih memerlukan penelitian lanjut bagi memastikan pindaan itu mendapat sokongan di Dewan Rakyat.
Jelas Wan Junaidi, dibawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, sokongan majoriti dua pertiga di Dewan diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
Pada 13 September lalu, PH dan kerajaan Ismail Sabri menandatangani MoU dalam urusan pentadbiran kerajaan.
MoU tersebut dijangka berakhir pada Julai ini dan UMNO semasa Perhimpunan Agung 2021 baru-baru ini juga lantang mendesak pembubaran Parlimen bagi memberi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disegerakan.