
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berbual dengan seorang mangsa banjir di Baling ketika program menggantikan dokumen Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen, hari ini, 8 Julai 2022. - Gambar JPN
Penduduk di 12 kampung yang terjejas akibat banjir besar pada Isnin lalu dinasihatkan supaya tidak bermalam di rumah mereka buat masa ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata beliau telah mencadangkan perkara ini kepada polis Baling berikutan ramalan hujan dan ribut petir di daerah itu dalam beberapa hari akan datang.
“Saya telah mencadangkan perkara ini kepada ketua polis Baling semasa sesi taklimat hari ini untuk memindahkan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai (Sungai Kupang) untuk ditempatkan di lokasi lebih selamat.
“Kita tidak dapat pastikan bila banjir akan melanda lagi terutama ketika penduduk sedang tidur lena.
“Bagaimanapun, eloklah mereka berada di rumah pada waktu siang seperti menjalankan kerja-kerja pembersihan,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan yang dilanda banjir di Baling hari ini.
Hamzah berkata lebih 700 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ditempatkan di kawasan itu bagi membantu usaha pasca bencana.
Hamzah mengulas laporan hari ini berhubung ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengenai hujan dan ribut petir di Baling dalam beberapa hari akan datang.
Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata ramalan cuaca petang itu berdasarkan pembentukan garisan ombak terutama di sepanjang kawasan pantai Kedah.
Katanya, garisan badai itu akan menyebabkan kejadian hujan lebat dan ribut petir serta angin kencang pada waktu petang yang berkemungkinan berlarutan sehingga awal malam.
Sementara itu, Hamzah berkata Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen hari ini telah mula membantu mangsa menggantikan dokumen pengenalan diri dan pasport yang rosak akibat banjir.
“Perkhidmatan ini dilakukan secara percuma bagi meringankan beban mangsa,” katanya.
Pada Isnin, 12 kampung di Kupang di sini ditenggelami banjir akibat fenomena tiang air yang meragut tiga nyawa sekeluarga termasuk seorang wanita yang hamil empat bulan.