Rumah AS$10j: SPRM sahkan siasat Rohana lepas Leissner dedah

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan agensi itu sedang menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan.

Siasatan itu dilakukan berhubung dakwaan pembelian sebuah rumah di London bernilai AS$10 juta yang didakwa menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rohana dilaporkan tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 9 pagi semalam dan memberi keterangan selama lebih lapan jam kepada pegawai penyiasat berhubung kes itu.

Memetik BH Azam mengesahkan siasatan dijalankan terhadap Rohana.

Sumber berkata, perkembangan siasatan berhubung kes berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan Rohana akan dipanggil kembali sekiranya dia perlu berbuat demikian.

“Dia dipanggil bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

“Siasatan terhadapnya selesai pada jam 6 petang pada hari sama (semalam),” katanya sumber itu.

Kelmarin, Leissner mengakui telah menggunakan wang yang diterima daripada 1MDB untuk membeli rumah bernilai AS$10 juta (RM41.8 juta) di London untuk kekasihnya dari Malaysia ketika itu, Rohana, lapor Bloomberg.

Leissner, memberitahu pendakwa raya AS, Drew Rolle bahawa Rohana telah mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dengan 1MDB.

“Cik Rozhan sangat kecewa kerana saya memutuskan hubungan kami untuk bersama bakal isteri saya, dengan Kimora.

“Jika saya tidak membelikan dia rumah, dia akan memberitahu pihak berkuasa tentang penglibatan saya dalam skandal 1MDB. Dia mengancam untuk mendedahkan saya.

“Pada masa itu, 2013, saya sangat takut akan perkara itu,” Leissner dipetik sebagai berkata ketika disoal sama ada dia telah memberi Rozana sebarang wang daripada dana pelaburan Malaysia.

BERITA BERKAIT
POPULAR