RTM mesti berani berubah: PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang kini berusia lebih tujuh dekad mencipta tonggak pencapaian dalam industri penyiaran serta penerbitan negara selain berani membawa perubahan agar perkhidmatannya sentiasa segar dan relevan.

Untuk itu, katanya, RTM yang telah lama berkhidmat kepada rakyat perlu bersedia berubah dengan perkembangan dan kemajuan teknologi semasa.

Beliau berkata, slogan RTM – Teman Setia Anda – memang sinonim dan mencerminkan perkhidmatannya kepada rakyat, tetapi pada masa sama RTM juga perlu berani membawa perubahan agar perkhidmatannya akan sentiasa segar dan relevan.

Berucap secara maya bersempena sambutan ulang tahun RTM ke-75 dan Orkestra RTM ke-60, hari ini, Perdana Menteri berharap RTM tidak gentar membawa perubahan dalam era Revolusi Industri 4.0 di samping menggunakan kepakaran yang ditimba daripada pengalaman lalu untuk sentiasa menambah baik, melestarikan dan membangunkan perkhidmatannya.

Muhyiddin berkata, projek menaik taraf Kompleks Penyiaran Angkasapuri kepada Bandar Media adalah sejajar dengan kemajuan pesat dalam bidang teknologi penyiaran dan piawaian penyiaran digital antarabangsa.

Katanya, apabila siap sepenuhnya, projek yang dilaksanakan secara kerjasama di antara kerajaan dan pihak swasta itu akan menyediakan infrastruktur penyiaran berteknologi tinggi selaras dengan perancangan kerajaan untuk membangunkan perkhidmatan siaran televisyen digital.

“Saya percaya pelan ini akan memberikan manfaat yang besar bukan sahaja kepada organisasi malahan kepada industri kreatif tempatan.

“Antara lainnya ia akan menawarkan pemantapan kandungan di saluran-saluran televisyen, penyegaran penyampaian di medium radio dan pemerkasaan media baharu untuk memupuk dan menambah kesetiaan dalam kalangan audiens,” katanya.

POPULAR