
Gambar Datuk Seri Najib Razak yang tular sehingga menyebabkan Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mengucapkan 'Selamat Pengantin Baru' kepada bekas Perdana Menteri itu. - Gambar dari portal Mkini
Seorang individu yang dikatakan kenalan rapat keluarga Datuk Seri Najib Razak mendakwa bekas Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, terkejut apabila ditunjukkan gambar yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu.
Individu yang enggan dikenali itu juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta supaya siasatan dijalankan berhubung penularan gambar Najib dengan seorang wanita yang memeluk lengan kirinya, yang tular baru-baru ini.
Dia membuat laporan di Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya, Selangor petang semalam.
Dalam laporan tersebut, individu terbabit meminta siasatan dijalankan bagi membuktikan gambar berkenaan telah diedit dan keterangan pada gambar juga tidak benar.
“Saya telah menunjukkan gambar dan caption kepada Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor di mana kedua-dua mereka sangat terkejut memandangkan ia tidak benar sebelum meminta bantuan saya membuat laporan kepada SKMM bagi tindakan selanjutnya.
“Saya membuat laporan ini bagi pihak Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah dan seperti yang mereka minta, mereka memohon satu siasatan diambil sekiranya hasil siasatan membuktikan gambar berkenaan diedit dan caption terbabit tidak benar.
“Saya juga memohon tindakan diambil terhadap pihak berkaitan dari sudut undang-undang,” katanya memetik laporan Utusan hari ini.
Sejak beberapa hari lalu, tular sekeping gambar menunjukkan Najib dengan seorang wanita yang memeluk erat lengan kirinya dan diapit empat individu lain.
Wanita terbabit menjadi tanda tanya dalam kalangan netizen di mana beliau kelihatan tersenyum dan mesra berada di sebelah Najib, sehingga ada yang mengatakan wanita misteri itu isteri baharu Najib.
Utusan melaporkan jurucakap MCMC ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan tersebut semalam.
Setakat ini, Najib masih mengunci mulut, malah semalam beliau tidak mahu melayan soalan wartawan berhubung gambar tular itu ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika menghadiri perbicaraan kesnya.
Tindakannya itu diluar kebiasaan kerana sebelum ini Najib memang mudah dan cepat memberi sebarang ulasan balas jika ditanya wartawan.
Gambar tular itu juga menarik perhatian Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang kemudian mengucapkan ‘Selamat Pengantin Baru’ kepada Najib.
Ucapan itu dibuat dalam komen di Facebook Najib yang memuat naik statusnya bertemu Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.