Rosmah sekali lagi gagal singkir hakim dengar kes pengubahan wang haram, cukai

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam permohonan keduanya untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar kes kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai RM7 juta yang dihadapinya.

Isteri Datuk Seri Najib Razak itu ditolak permohonan hari ini oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mohamed Zaini akan terus menjadi hakim dalam perbicaraan kes dihadapinya itu.

Pada 14 Disember tahun lalu, Hakim sama turut menolak permohonan pertama dibuat Rosmah berhubung perkara sama tersebut.

Menerusi kedua-dua permohonan, Rosmah mendakwa ada risiko Mohamed Zaini bersikap prejudis dan berat sebelah kepadanya.

Dakwanya, ini kerana Mohamed Zaini turut mendengar satu lagi kes terhadapnya, iaitu berkaitan perbicaraan kes rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.

Dalam pada itu, Mohamed Zaini juga hari ini membenarkan permohonan yang dibuat peguam Rosmah, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jalamuddin untuk menangguhkan perbicaraan kes pengubahan wang haram – yang dijadual bermula Khamis ini – sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

BERITA BERKAIT
POPULAR