
Datin Seri Rosmah Mansor pada Selasa (30 Ogos 2022) menfailkan permohonan supaya Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Hakim Mohamed Zaini digugurkan.
Datin Seri Rosmah Mansor terus cuba mengelak daripada penghakiman kes rasuah solarnya dibuat esok (Khamis, 1 September) apabila dilaporkan memohon pula mengetepikan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan.
Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader mengesahkan bahawa permohonan untuk meminta hakim digugurkan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
Hakim Mohamed Zaini dijangka membuat keputusan penghakiman berhubung tuduhan rasuah projek solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak Khamis ini.
Semalam, isteri Datuk Seri Najib Razak itu – bekas Perdana Menteri Malaysia pertama menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang – sekali lagi gagal dalam usahanya untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam perbicaraan itu.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada Selasa membuat keputusan menolak permohonan Rosmah.
Rosmah memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 24 Jun di mana dia mencabar kesahihan surat pelantikan Sri Ram, atau “fiats”.
Antara lain, dia juga memohon perisytiharan bahawa perbicaraan kes solarnya adalah terbatal dan tidak sah, dan perintah penangguhan untuk prosiding solar sehingga pelupusan semakan kehakiman.
Responden dalam kes itu – Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram – semuanya telah membangkitkan bantahan awal terhadap permohonan Rosmah yang meminta kebenaran untuk memulakan prosiding.
Memetik MalayMail hari ini, dalam permohonan terbaharu, Rosmah mahu Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar atau membuat sebarang keputusan atau perintah berkaitan perbicaraan rasuahnya, serta sebarang prosiding atau permohonan berkaitan.
Dia juga memohon keputusan perbicaraan kes rasuah itu ditangguhkan sehingga permohonannya diputuskan.
Akhir sekali, dia mahu perbicaraan baharu oleh hakim lain selepas Zaini digugurkan.
Rosmah diperintah membela diri pada 18 Februari 2021 terhadap tiga tuduhan rasuah selepas Mohamed Zaini memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Pada 23 Februari lalu, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi iaitu Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.
Rosmah pada 15 November 2018, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.
Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di Nombor 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2017.
Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.
Semua kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan yang bermula 5 Februari tahun lalu.