
Kes mahkamah Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Datin Seri Rosmah Mansor hari ini hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk menghadiri perbicaraan suaminya Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan mengubah laporan ketua juruaudit ke atas audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Baharu sahaja disabitka dalam kes rasuahnya sendiri semalam, Rosmah dilihat berada sebentar di dalam bilik mahkamah ketika perbicaraan Najib di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan – hakim sama yang telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah.
Konvoi Najib dari penjara tiba di kompleks mahkamah kira-kira jam 8.30 pagi tadi dan dia dilihat memasuki bilik mahkamah dari bilik tahanan pada jam 9.46 pagi, berpakaian sut bergaris hitam dan memakai tali leher yang kelihatan berwarna magenta.
Berbaju kurung putih bercorak bunga, Rosmah kemudian masuk ke dalam bilik mahkamah kira-kira jam 9.48 pagi, sejurus sebelum perbicaraan bermula, tetapi meninggalkannya beberapa minit kemudian.
Kemudian pada jam 10.11 pagi ketika prosiding mahkamah sedang berjalan, Rosmah memasuki semula bilik mahkamah, dan kemudian meninggalkan bilik mahkamah kira-kira 10 minit kemudian.
Sejurus sebelum dia keluar dari bilik mahkamah, dia dilihat melambai kepada Najib yang duduk di kandang tertuduh, manakala Najib turut berpaling ke arahnya dan melambai ke belakang, lapor MalayMail.
Ini merupakan kehadiran ketiga Rosmah ke mahkamah bagi perbicaraan jenayah Najib sejak bekas Presiden UMNO itu dipenjarakan 11 hari lalu bagi menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Ini juga kali ketiga Najib dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk menghadiri perbicaraannya.
Tidak seperti Najib, yang telah dihantar ke penjara selepas gagal membatalkan sabitannya dalam kes SRC di Mahkamah Tinggi dan seterusnya kedua-dua rayuannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Rosmah berada pada peringkat yang berbeza dalam kesnya.
Rosmah walaupun bersalah dan dijatuhi hukumen penjara, kekal dengan ikat jamin RM2 juta kerana dia semalam mendapat penangguhan hukuman untuk meneruskan rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Pada kira-kira jam 10.23 pagi hari ini, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa juga dilihat memasuki bilik mahkamah ketika perbicaraan sedang berjalan, dan berada di situ hingga tamat prosiding.
Ketika perbicaraan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy – yang juga seorang tertuduh dalam perbicaraan ini – kadang-kadang dilihat bercakap dengan Najib semasa mereka berdua duduk di kandang tertuduh.
Dalam perbicaraan ini, Najib dituduh, sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu, menyalahgunakan kedudukannya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016 dengan mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan itu bagi melindungi Najib daripada tindakan tata tertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
Arul Kanda kini kekal sebagai tertuduh sehingga tamat kes pendakwaan, apabila Mohamed Zaini akan memutuskan sama ada dia telah bercakap benar dan sama ada dia perlu kekal sebagai tertuduh dalam perbicaraan ini.
Hari ini, pegawai penguat kuasa kanan SPRM Haniff Lami memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-16 dan terakhir dalam kes itu.
Haniff melengkapkan keterangannya hari ini selepas disoal balas oleh peguam bela utama Arul Kanda, Datuk N Sivananthan dan peguam bela utama Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dan selepas diperiksa semula oleh Ketua Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram dan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.
Perbicaraan akan disambung semula pada 7 September di mana bekas Setiausaha Sulit utama Najib, Tan Sri Shukry Salleh yang sebelum ini memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-11, ditetapkan untuk disoal balas oleh Sivananthan dan diperiksa semula oleh pihak pendakwaan, sebelum pihak pendakwaan boleh menamatkan pemanggilan saksi pendakwaan.
Najib akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekali lagi Isnin depan (5 September), berkaitan kes 1MDB di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah.