Rosmah cabar lagi ketepi Sri Ram, mohon batal bicara kes rasuah

June 27, 2022 · Isu semasa

Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi memfailkan permohonan mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion dihadapinya.

Dia juga memohon perbicaraan penuh kes itu yang berlangsung sejak 2018, terbatal dan tidak sah.

Rosmah, 70, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 24 Jun lepas menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Sebelum ini isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu telah menfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Jenayah di sini, lapor Bernama.

Bagaimanapun permohonannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan rayuannya terhadap permohonan itu juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonan terbaharunya, Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat), masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah salah di sisi undang-undang Malaysia.

Dia memohon perisytiharan bahawa fiat versi pertama yang ditandatangani Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun pada 8 Julai 2020, yang sepatutnya ditandatangani oleh Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Tommy Thomas pada atau sebelum 15 November 2018, iaitu tarikh pendakwaan ke atas pemohon adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Pemohon memohon deklarasi bahawa fiat versi kedua bertarikh 11 Mei 2021 adalah tidak wujud memandangkan Thomas di dalam bukunya – ‘My Story: Justice in Wilderness’ yang diterbitkan pada 2021 menyatakan pelantikan Sri Ram adalah berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukannya kes solar selain memohon deklarasi bahawa pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu melalui fiat versi ketiga adalah cacat.

Selain itu, dia juga memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh bagi kes solar yang berlangsung sejak 15 Nov 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah dan terbatal.

“Oleh itu, saya selaku Orang Kena Tuduh (OKT) hendaklah dilepaskan dibebaskan daripada semua pertuduhan dihadapi di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di dalam kes solar itu,” kata Rosmah dalam permohonannya.

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah ketika dihubungi berkata permohonan anak guamnya itu akan didengar pada 30 Jun ini di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi telah selesai dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 7 Julai ini untuk menyampaikan keputusan sama ada Rosmah akan dibebaskan atau disabitkan dengan tiga pertuduhan rasuah itu.

Berita berkaitan
Pengarah urusan syarikat tipu pakej umrah dipenjara 10 tahun
9 jam lalu· Isu semasa
Shahrir bayar penuh beli kereta Honda RM118,485 guna cek: Saksi
16 jam lalu· Isu semasa
Saksi kes Guan Eng akui bayar orang tengah RM19 juta sebab diugut
18 jam lalu· Isu semasa
Saman Muhyiddin: Permohonan injunksi Zahid ditolak mahkamah
19 jam lalu· Politik
Popular
Bersatu gesa kerajaan tubuh RCI siasat skandal kapal tak siap
August 8, 2022
Rafizi dakwa ada surat bocor kaitkan Najib berhubung kontrak LCS
August 8, 2022
Pengerusi PAC bidas Najib tak semak fakta pertikai laporan kapal tak siap
August 8, 2022
Pengarah urusan syarikat tipu pakeh umrah dipenjara 10 tahun
August 9, 2022
Lagi Isu semasa terkini
PM lapor polis akaun Telegram, Signal peribadi digodam
23 minit lalu · Isu semasa
Skandal LCS: Keselamatan negara atau selamatkan wang negara daripada hangus?
28 minit lalu · Isu semasa
Kes baharu semalam kekal bawah 3,000, enam kematian dicatat
37 minit lalu · Isu semasa
Subsidi bersasar dilaksana apabila keadaan ekonomi mengizinkan: Zafrul
9 jam lalu · Isu semasa
Polis tahan lelaki letak vape dalam mulut bayi
9 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[FOTO] Dragon Muay Thai gegar Bukit Bintang
24 jam lalu
[VIDEO] Jentera UMNO diarah mantap persiapan hadapi PRU-15
August 5, 2022

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok