
Harga minyak petrol dan diesel.
Harga runcit petrol RON97 akan turun lima sen mulai tengah malam ini daripada RM4.55 kepada RM4.50 seliter manakala bagi RON95 dan diesel kekal tidak berubah untuk minggu ini dari 4 hingga 10 Ogos.
Kementerian Kewangan (MOF), dalam satu kenyataan hari ini, berkata bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak global, RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter walaupun harga pasaran sebenar kedua-dua produk itu telah meningkat melebihi harga siling semasa.
MOF berkata harga ditetapkan berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM).
“Kerajaan akan terus memantau trend harga minyak mentah global dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terjaga,” katanya. – Bernama