RON97 naik lagi 30 sen

Harga runcit petrol RON97 naik 30 sen seliter manakala harga RON95 dan diesel kekal bagi tempoh 10 hingga 16 Mac ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit petrol RON97 naik daripada RM3.45 kepada RM3.75 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada harga RM2.05 dan RM2.15 seliter.

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua jenis minyak tersebut telah meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan harga runcit petrol RON97 yang ditetapkan adalah mengikut harga pasaran sebenar, lapor Bernama.

“Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR