RON97 naik lagi 25 sen

Harga runcit petrol RON97 bagi tempoh 17 Mac hingga 23 Mac ini, naik lagi sebanyak 25 sen setelah mengalami kenaikan 30 sen pada minggu 10 hingga 16 Mac.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini berkata, harga runcit baharu petrol RON97 naik daripada RM3.75 seliter kepada RM4 seliter.

Bagaimanapun, harga runcit RON95 dan diesel kekal seperti harga semasa.

“Kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar telah meningkat melebihi paras harga siling,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan harga baharu itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

BERITA BERKAIT
POPULAR