Rompakan berkumpulan, dua individu termasuk pegawai SPRM direman

Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara dua individu yang direman selepas disyaki terbabit kes rompakan berkumpulan pada Jumaat lalu

Kedua-dua individu yang ditahan polis masing-masing direman tiga dan empat hari.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya yang berkata tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi ke atas pegawai agensi penguat kuasa dan seorang lagi individu bersabit satu kes jenayah membabitkan kerugian RM700,000.

“Setakat ini, seramai 12 individu sudah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya lapor BH hari ini.

Jelasnya lagi, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Media semalam melaporkan, dua individu termasuk seorang pegawai agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit kes rompakan berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang.

Dalam kejadian 12 tengah hari Jumaat lalu, tiga lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan berusia 50-an.

Sumber dilaporkan berkata, bertindak atas laporan polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai penguat kuasa masing-masing berusia 30-an.

Katanya, polis sedang mengesan suspek yang masih bebas.

SPRM dalam kenyataan kemudian mengesahkan seorang pegawai suruhanjaya itu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah.

Suruhanjaya itu memberi kerjasama penuh untuk mengesan pegawai terbabit dan menyerahkannya kepada polis.

Pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terbabit dengan sebarang kesalahan jenayah.

BERITA BERKAIT
POPULAR