
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong didapati bersalah merogol pembantu rumahnya tiga tahun lalu.
Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini mendapati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong bersalah merogol bekas pembantu rumahnya warga Indonesia tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed berkata pasukan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Pasukan pembelaan Yong meminta mahkamah berehat selama 10 minit bagi membuat persediaan untuk permohonan meringankan hukuman yang dijatuhkan.
Yong yang juga bekas Exco negeri berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan kemungkinan sebatan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan atas kesalahan itu.
Yong, 51, mengaku tidak bersalah pada 23 Ogos 2019, atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 25 tahun di rumahnya di Taman Meru Desa pada 7 Julai 2019, antara 8.15 malam dan 9.15 malam.
Bekas ADUN DAP itu sepatutnya mengetahui keputusan berhubung perbicaraan kes rogolnya pada 28 Jun lalu tetapi ditangguhkan ke hari ini selepas berlaku kematian ibu tertuduh.
Yong sebelum ini mengumumkan keputusannya keluar DAP dan kini menyertai sebuah parti baharu, Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Pada 31 Mac lalu, pasukan pembelaan diketuai Rajpal bersama Salim Bashir menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi iaitu Yong, 52, dan isteri, Too Choon Looi, 46, serta bapa saudara mangsa, Muhammad Rusdi, 51.
Prosiding tersebut berlangsung selama dua hari pada 16 dan 31 Mac lalu.
Sebelum ini pada 7 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas Exco kerajaan negeri itu membela diri terhadap tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia pada Julai 2019.