Roger Ng didapati bersalah dalam kes berkaitan penyelewengan dana 1MDB

Bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng disabitkan dengan kesalahan rasuah dan pertuduhan rasuah lain berkaitan penyelewengan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Juri di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) yang terdiri daripada enam lelaki dan enam wanita, membuat keputusan tersebut semasa perbicaraan Ng pada Jumaat.

Dia berdepan hukuman penjara selama 30 tahun tetapi tempohnya mungkin lebih singkat. Ng tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika keputusan juri membacakan, namun peguamnnya, Marc Agnifilo menundukkan kepalanya, lapor Bloomberg.

Ng bagaimanapun kekal bebas dengan bon jaminan AS$20 juta, sementara Hakim Daerah AS Margo Brodie tidak menetapkan tarikh hukuman dilaksanakan.

Bekas ketua perbankan pelaburan di Malaysia, Ng adalah satu-satunya pegawai Goldman yang dibicarakan di AS berkaitan skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia membabitkan dana 1MDB.

Ng mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan dihadapinya – bersubahat dalam penggubahan wang haram dan melanggar dua undang-undang antirasuah AS.

“Keputusan itu adalah kemenangan besar demi keadilan dan untuk rakyat Malaysia yang menjadi mangsa skandal besar-besaran ini yang dilakukan dalam ketamakan dan kerakusan,” kata peguam Daerah Timur New York, Breon Peace, dalam satu kenyataan.

“Defendan dan kroninya melihat 1MDB bukan sebagai satu entiti untuk berbuat kebaikan, tetapi sebagai ‘bank simpanan’ untuk memperkayakan diri mereka dengan timbunan wang yang disedut daripada dana itu,” kata Peace.

Pendakwa raya berkata Ng dan beberapa pegawai Goldman membantu 1MDB mengumpul AS$6.5 bilion melalui tiga jualan bon.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu, sebanyak AS$4.5 bilion diselewengkan dalam bentuk sogokan kepada pegawai kerajaan, bank dan rakan subahat.

“Mudarat kepada rakyat Malaysia sukar dibayangkan,” kata pendakwa raya Alixandra Smith semasa hujah penutup.

Juri mendengar hampir dua bulan berhubung bukti rasuah dan sogokan berjumlah puluhan juta dolar yang didakwa didalangi penjenayah dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Penyelewengan itu termasuk pembiayaan mewah untuk batu permata yang dikaitkan dengan isteri bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak – Datin Seri Rosmah Mansor – karya seni, kapal layar dan hartanah.

Pihak pendakwaan berkata Ng membantu bekas bossnya, Tim Leissner menyeleweng ratusan juta dolar, mengubah wang dan memberi rasuah kepada pegawai kerajaan bagi mendapatkan urus niaga bagi Goldman.

Leissner, 52, mengaku bersalah pada 2018 terhadap dua kesalahan berkaitan dengan pengubahan wang haram dan bersetuju untuk melepaskan AS$43.7 juta (RM182.9 juta).

Ng juga berdepan tuduhan yang sama seperti Leissner.

Ketika penghujahan, Agnifilo menumpukan hujah penutupnya terhadap kredibiliti Leissner, selepas lelaki itu mengaku bahawa dia “banyak berbohong” semasa memberikan keterangan.

Namun, pihak pembelaan mengakui Ng memperkenalkan Leissner kepada Jho Low, Agnifilo berkata anak guamnya tidak memainkan peranan selepas perkenalan dua lelaki itu.

Selain itu, Agnifilo berkata Leissner berbohong bagi mendapatkan hukuman yang lebih ringan.

Pihak pendakwa raya Malaysia dan AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) dicuri daripada 1MDB, dana yang ditubuh oleh Najib pada tahun 2009 bagi membiayai program-program di Malaysia.

Najib hilang kuasa selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya kalah pada Pilihan Raya Umum 2018, yang melihat pembangkang ketika itu menggunakan isu 1MDB sebagai subjek utama kempen mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan kemudiannya memfailkan sebanyak 42 pertuduhan jenayah terhadap Najib, yang membawa kepada sabitan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun kepada beliau pada Julai 2020 atas pendakwaan berkaitan penyelewengan wang daripada sebuah anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Najib kini bebas dengan jaminan sementara proses rayuan beliau berjalan dan juga menghadapi pertuduhan lain yang melibatkan 1MDB.

BERITA BERKAIT
POPULAR