RM6 bilion beli peralatan 6 kapal tempur secara pukal: CEO LTAT

August 10, 2022 · Isu semasa

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menjelaskan bayaran RM6 bilion yang dibuat kerajaan kepada kontraktor projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bertujuan membeli peralatan membina enam kapal berkenaan.

Ketua Eksekutif LTAT Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata ini kerana pembelian secara pukal untuk peralatan enam kapal itu akan jauh lebih murah.

“RM6 bilion dari nilai kontrak RM9 bilion sudah dibayar. Kenapa bayar sampai RM6 bilion, tapi progres pembinaan untuk lima kapal pertama hanya pada purata 55 peratus?

“Sebab RM6 bilion dibelanjakan untuk beli hampir kesemua peralatan yang perlu untuk bina enam kapal. Bulk order (pesanan pukal) lebih murah berbanding beli satu-satu.

“Sebahagian besar perbelanjaan adalah untuk basic design dan detailed design yang dibuat oleh Naval Group, Perancis,” katanya dalam satu kenyataan semalam (9 Ogos 2022).

Ahmad Nazim berkata peruntukan berjumlah RM9 bilion untuk pembinaan enam LCS di bawah kontrak asal bermakna harga bagi sebuah kapal lebih kurang RM1.5 bilion.

Beliau memberi contoh, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk sebuah kapal LCS yang dibuat di Perancis, sementara Amerika Syarikat membina LCS mereka pada harga RM2.4 bilion sebuah kerana lebih canggih.

Beliau turut menjelaskan susulan kegagalan projek penswastaan pembinaan kapal-kapal TLDM yang diberi kepada syarikat PSC satu ketika dulu, Boustead terpaksa mengambil alih syarikat itu demi menyelamatkan kerugian di seluruh rantaian kewangan dan ekonomi.

“Pengambilalihan ini termasuk hutang bank yang amat besar yang kini terpaksa ditanggung oleh Boustead Holdings dan Boustead Naval Shipyard (BNS). Maka sebahagian daripada wang LCS terpaksa digunakan untuk membayar hutang lapuk syarikat PSC ini.

“Namun di sebalik bebanan ini, projek LCS yang dibina oleh syarikat BNS di Malaysia telah membuka peluang kerja teknikal dan kejuruteraan kepada hampir 3,000 jurutera, lebih 400 vendor tempatan dalam pelbagai bidang yang dengan nilai projek lebih RM4 bilion dan ribuan lagi pekerjaan di syarikat vendor ini,” katanya lagi.

Ahmad Nazim berkata projek LCS terhenti pada 2019 atas pelbagai sebab tetapi Kabinet pada April 2022 telah memutuskan untuk menyambung semula pembinaannya berdasarkan opsyen yang paling murah.

Keputusan ini, katanya dibuat dengan mengambil kira tiga opsyen, termasuk pelan penstrukturan semula BNS diteliti oleh pihak kerajaan di pelbagai peringkat termasuk Kabinet yang mengambil masa selama lapan bulan.

Menurutnya beliau juga terlibat secara langsung dalam menggubal pelan pemulihan projek LCS bersama-sama Kementerian Pertahanan dan TLDM baru-baru ini.

“Saya sudah berkali-kali turun ke Lumut Shipyard yang terletak di dalam pangkalan TLDM dan melawat projek LCS. Saya boleh sahkan pembinaan fizikal kapal memang sedang berlangsung.

“Di bawah kontrak sekarang, pembinaan keenam-enam kapal ini perlu dibuat dalam masa yang sama. Bukan bina satu, hantar satu. Lumut Shipyard besar dan ada kapasiti untuk pembinaan enam kapal sekali harung,” katanya.

Pada Khamis (4 Ogos lalu) Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan laporan setebal 247 muka surat berhubung LCS dan antaranya terma-terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan apabila pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

Menurut laporan itu, pandangan TLDM selaku pengguna akhir tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan BNS dalam pelaksanaan projek LCS.

Untuk rekod, perolehan LCS itu telah diluluskan oleh Putrajaya pada awal 2011 ketika pemerintahan BN dan UMNO. Pada akhir 2011, kontrak RM9 bilion telah diberikan kepada BNS.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) menggesa Kabinet menubuhkan sebuah Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan berkaitan projek kapal berkenaan.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lebih malang sekiranya amalan rasuah dan penyelewengan yang menjadi barah dalam sebuah pemerintahan kleptokrasi berulang kembali di negara kita.

Menurutnya PN menentang keras amalan kotor ini dan tidak akan membiarkan kumpulan kleptokrat kembali memperjudikan nasib rakyat demi kepentingan peribadi.

“Walaupun pemerintahan kleptokrasi BN telah berakhir pada PRU-14 yang lalu, namun sehingga hari ini kita masih dihantui oleh peninggalan kebobrokan pemerintahan mereka.

“Yang terbaharu ialah skandal pembinaan kapal LCS TLDM yang melibatkan kerugian wang rakyat sebanyak RM9 bilion, selain merencatkan keupayaan TLDM untuk mengawal perairan negara disebabkan kegagalan syarikat yang dianugerah kontrak pembinaan kapal LCS secara rundingan terus untuk menyiapkan projek tersebut.

“Pendedahan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar, mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu amat mengejutkan kita,” kata Muhyiddin.

Berita berkaitan
Kumpulan pemerhati rasuah gesa dedah perjanjian tambahan LCS
October 11, 2023· Isu semasa
Selepas pendedahan PAC, MINDEF nafi AGC tak dilibatkan dalam perjanjian LCS
October 10, 2023· Isu semasa
Program PLKN dihidupkan semula, kata Menteri Pertahanan
October 9, 2023· Isu semasa
MINDEF dibidas PAC ekoran perjanjian dimerterai tanpa persetujuan AGC
October 9, 2023· Isu semasa
Popular
Mahkamah diberitahu 1MDB rancang bayar hutang menggunakan hasil IPO
May 28, 2021
Jangan berhimpun Rabu ini: Amaran polis
June 28, 2021
Netizen persoal isu ‘roadtax’, MyJPJ jika bawa kenderaan orang lain
February 10, 2023
Kenapa generasi muda semakin hilang adab?
February 14, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Polis sedang kesan individu hina Sultan Selangor, dipercayai berada luar negara
March 27, 2024 · Isu semasa
Saman fitnah: Rayuan Jamal ditolak, perlu bayar RM300 ribu kepada Kok
March 27, 2024 · Isu semasa
Kata masuk pelaburan berbilion, Rafidah terkejut kilang tayar tutup
March 7, 2024 · Isu semasa
Laman akaun Facebook tak boleh diakses jutaan pengguna
March 5, 2024 · Isu semasa
Ahli Parlimen blok kerajaan juga tak setuju cukai SST dinaikkan
March 5, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok