RM559 juta bantuan warga emas sudah disalur, kata Rina

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyalurkan Bantuan Warga Emas berjumlah RM559 juta dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini kepada 138,000 penerima, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata untuk tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan RM880 juta di bawah Bantuan Warga Emas untuk diagihkan kepada penerima yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan nilai sebanyak RM500 sebulan.

“Ini (Bantuan Warga Emas) merupakan bantuan tunai setiap bulan dan hanya diberikan kepada warga emas yang menepati kriteria ditentukan seperti mereka yang tinggal berseorangan dan tidak boleh bekerja untuk menampung kehidupan.

“Sudah tentu ia untuk warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dan pendapatan isi rumah tidak melebihi Paras Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin isi rumah semasa atau PGK Purata,” katanya lapor Bernama.

Terdahulu, Rina menyantuni penghuni di Kompleks Yayasan Al-Jenderami hari ini.

Beliau berkata KPWKM akan terus komited melaksanakan usaha bersepadu untuk mempertingkat penjagaan, perlindungan dan sokongan bagi membolehkan warga emas menjadi anggota masyarakat yang sihat, aktif dan produktif.

“Usaha ini termasuk memperkenalkan undang-undang bagi melindungi hak warga emas, mewujudkan rangka kerja jangka panjang yang komprehensif, meningkatkan kualiti dan perkhidmatan penjagaan warga emas serta menggiatkan industri penjagaan sosial.

“Kempen kesedaran mengenai kehidupan hari tua yang sihat akan dipergiat, manakala penjagaan warga emas dijadikan sebagai kerjaya profesional,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak dan pemegang taruh untuk memperkenalkan Akta Warga Emas sebagai persediaan menghadapi status Malaysia sebagai negara tua menjelang 2030.

Menurut Rina perkara itu masih di peringkat awal perbincangan bagi membolehkan satu akta yang membantu warga emas dari pelbagai aspek antaranya pekerjaan, masa anjal, bandar mesra warga emas dan sebagainya dapat diperkenalkan sebelum tahun berkenaan.

“Berdasarkan unjuran data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, negara kita akan mencapai status negara tua menjelang 2030 dan dijangka 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negara ini adalah berusia 60 tahun dan ke atas.

“Pada ketika itu, populasi warga emas di Malaysia akan menjangkau 5.8 juta orang daripada keseluruhan 38.1 juta jumlah penduduk di negara ini,” katanya dan menambah KPWKM akan melancarkan Sistem e-Warga Emas sebagai pangkalan data bersepadu nasional warga emas dalam masa terdekat.

BERITA BERKAIT
POPULAR