RM32.4 bilion diperuntuk kepada KKM tahun depan

Kerajaan memperuntukkan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan – bajet kedua tertinggi selepas Kementerian Pendidikan – untuk tahun depan.

Mengumumkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peruntukan besar itu adalah bagi mengutamakan aspek kesihatan awam dalam persediaan ke fasa endemik Covid-19.

Beliau berkata peperangan melawan Covid-19 masih belum berakhir.

“Oleh itu, tambahan 4 bilion ringgit disediakan khusus untuk meneruskan agenda menangani COVID-19 yang merangkumi 2 bilion ringgit bagi membiayai program vaksinasi.

“Manakala 2 bilion ringgit lagi disediakan bagi meningkatkan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam seperti pembelian bekalan ubat, bahan guna habis, PPE dan kit kesihatan.

“Dalam semangat Keluarga Malaysia, Kementerian Kesihatan juga telah menyumber luar ke hospital swasta dan hospital seliaan kementerian lain bagi mengoptimumkan kapasiti kesihatan dalam negara,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga bercadang untuk melaksanakan perolehan ubat antiviral yang didapati berkesan terhadap pelbagai virus termasuk Covid-19.

Namun katanya, yang utama sekali, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan terus diperkasa bagi membekalkan dos ketiga sebagai vaksin penggalak kepada semua orang dewasa di samping meneruskan vaksinasi kepada anak-anak berusia 12 hingga 17 tahun.

“Kerajaan telah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan 88 juta dos iaitu bersamaan lebih 140 peratus penduduk dan cukup untuk memberi dos ketiga kepada semua penduduk berusia 12 tahun dan ke atas,” katanya.

Beliau juga mengumumkan kerajaan bercadang memberi pelepasan cukai individu dan potongan cukai kepada majikan ke atas kos berkaitan
pengambilan vaksin penggalak yang dibiayai sendiri, mulai tahun depan.

 

BERITA BERKAIT
POPULAR