
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamad menunjukkan buku Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed meminta Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memperbetulkan kenyataan yang mengatakan kerajaan membelanjakan RM2 bilion untuk menyediakan buku Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Sambil menafikan kerajaan membelanjakan sejumlah wang sebesar itu untuk menyediakan buku berkenaan beliau memaklumkan ianya hanya membabitkan kos yang amat kecil untuk sesi libat urus, cetakan dan perundingan media.
“Untuk pengetahuan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE JPM) tidak pernah membelanjakan wang sebanyak RM2 bilion untuk menyiapkan buku RMKe-12 seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya berharap Dato’ Seri Anwar dapat memperbetulkan kenyataan beliau bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap pegawai UPE JPM dan Kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Pembangkang itu ketika membahaskan RMK12 di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Anwar berkata:
“… kita boleh belanja bilion ringgit untuk konsultan. Saya difahamkan 5-6 tahun dulu, sudah belanja RM1.8 billion. Jadi saya nak tanya, lebih daripada RM2 billion ringgit telah diberikan kepada konsultan untuk menyiapkan buku RMKe-12 ini.”
Mengulas lanjut Mustapa berkata perancangan pembangunan negara untuk lima tahun ini disediakan oleh pegawai-pegawai UPE JPM di bawah selian beliau, hasil input daripada libat urus dengan pelbagai pihak.