RM19.14 bilion dana 1MDB diperoleh semula

Jumlah dana berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang telah berjaya diperoleh semula sehingga 31 Januari 2022 bernilai kira-kira RM19.14 bilion, umum Kementerian Kewangan hari ini.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini, kementerian itu berkata dana tersebut dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AA MKA), lapor Bernama.

Katanya sebahagian besar dana diperoleh adalah daripada lima sumber utama merangkumi AS$1.23 bilion atau RM5.17 bilion daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion) daripada Goldman Sachs, sebagai sebahagian jumlah penyelesaian yang dimuktamadkan pada Julai 2020 dan dikreditkan pada September 2020.

“Sebanyak AS$80 juta atau RM336 juta diterima daripada Deloitte hasil penyelesaian global pada 24 Mei 2021 (dikreditkan pada Jun 2021); RM2.315 bilion daripada AmBank hasil penyelesaian global pada 5 Mei 2021 (dikreditkan pada Julai dan Disember 2021); dan AS$80 juta atau RM336 juta daripada KPMG hasil penyelesaian global pada 16 Disember 2021 (dikreditkan pada Januari 2022),” menurut kementerian itu.

Dalam pada itu, kata Kementerian Kewangan, 1MDB telah melantik Parker Randall sebagai juruaudit untuk melaksanakan pengauditan ke atas penyata kewangan syarikat termasuk aset dan liabilitinya.

Bagaimanapun, laporan penyata kewangan beraudit terkini masih belum dapat dimuktamadkan kerana juruaudit lama iaitu KPMG (2010, 2011 dan 2012) dan Deloitte (2013 dan 2014) telah menarik balik laporan dan pandangan mereka terhadap penyata kewangan syarikat.

“Justeru itu, jumlah kerugian sebenar 1MDB pada masa ini tidak dapat ditentusahkan,” kata Kementerian Kewangan.

BERITA BERKAIT
POPULAR