
Kerugian akibat ditipu sindiket scam meningkat.
Kerugian disebabkan Macau Scam sebanyak RM155 juta daripada 3,604 kes sejak Januari hingga akhir Mei lalu, adalah yang tertinggi berbanding jenayah penipuan lain.
Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata daripada jumlah kes itu, seramai 1,181 tangkapan dibuat dengan 966 individu sudah dituduh di mahkamah.
“Jumlah kerugian akibat kes Macau Scam adalah jauh lebih tinggi berbanding kes tipu pelaburan dengan kerugian RM97.9 juta membabitkan 1,493 kes dalam tempoh sama.
“Selain itu, kes Love Scam juga merekodkan 361 kes dengan kerugian RM17.1 juta, manakala jenayah e-dagang pula mencatatkan sebanyak 3,835 kes membabitkan kerugian berjumlah RM48.2 juta,” katanya menurut HMetro.
Victor berkata, pihaknya mengesan modus operandi baharu Macau Scam yang membuat panggilan penyamaran daripada pejabat insurans.
“Mangsa yang dihubungi sindiket berkenaan dikatakan membuat tuntutan insurans palsu sebelum panggilan itu kononnya disambung kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
“Mangsa juga dituduh terbabit dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang atau dengan individu yang ditahan bagi sesuatu kesalahan yang serius,” katanya.
Beliau berkata, pihak yang menyamar sebagai polis meminta mangsa untuk menyerahkan maklumat perbankan secara terperinci atau pindahan ke akaun bank pihak ketiga (mule) untuk siasatan.
“Mangsa hanya akan menyedari mereka ditipu selepas mendapati wang di dalam akaun bank miliknya sudah dipindahkan ke akaun pihak ketiga dan tidak dapat lagi untuk menghubungi suspek.
“Bagi kes terbabit, pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada semasa membuat sebarang pemindahan atau transaksi dalam talian ke akaun individu yang tidak dikenali.
“Sila semak akaun bank atau nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.
“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut boleh hubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559,” katanya.