RM12.86 bilion subsidi upah diluluskan setakat 23 April

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Setakat 23 April pihak kerajaan sudah meluluskan permohonan subsidi upah sebanyak RM12.86 bilion yang sudah memberikan manfaat kepada seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja yang terjejas sejak bermulanya penularan Covid-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan dibawah Program Subsidi Upah 1.0 (PSU 1.0) itu diperkenalkan kerajaan bertujuan untuk memastikan majikan daripada gulung tikar dan pekerja hilang pekerjaan.

Bagi PSU 2.0, Zafrul berkata kerajaan sudah meluluskan permohonan subsidi upah bernilai RM1.17 bilion setakat 23 April, yang telah memberi manfaat kepada seramai 73,567 majikan dan mengekalkan penggajian 635,748 pekerja.

Di bawah program Subsidi Pengangkutan Awam MY30 pula, setakat 23 April, katanya sebanyak RM127.74 juta telah disalurkan bagi langganan 751,414 pas bulanan pengangkutan awam tanpa had yang disediakan khusus untuk warganegara Malaysia.

“Seperti yang diumumkan di bawah Belanjawan 2021, inisiatif ini dilanjutkan ke tahun 2021 bagi terus menggalakkan mobiliti dan mengurangkan beban kos pengangkutan awam untuk rakyat,” lapor Bernama yang memetiknya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-52, yang dikeluarkan hari ini.

Bagi pembiayaan sektor pelancongan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), beliau berkata setakat 23 April, sebanyak 321 daripada 644 permohonan bagi pembiayaan ini telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM63.9 juta.

Bagi program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, Tengku Zafrul berkata setakat 23 April, seramai 132,403 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini.

“Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuklah pembuatan serta perdagangan borong dan runcit,” katanya lagi.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
Tajuddin kena kompaun RM1,500 tak pakai pelitup mukaJune 9, 2021
PM yakin Kuala Lumpur capai imunisasi kelompok menjelang 31 OgosJune 13, 2021