RM10k pengeluaran khas terakhir

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berpendapat keputusan membenarkan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 yang diumumkan hari ini adalah yang terakhir menerusi inisiatif itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan susulan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, KWSP berkata ia akan memperkenalkan pengeluaran khas itu kepada ahli yang masih terkesan oleh pandemik.

“Ini adalah pengeluaran keempat selepas i-Lestari dan i-Sinar yang dilaksanakan pada tahun 2020 dan disusuli oleh i-Citra pada Julai 2021 bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan yang dihadapi oleh ahli dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti dengan kelembapan ekonomi.

“Setakat akhir 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga pengeluaran berkenaan.

“Tatkala negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, KWSP berpendapat bahawa pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.

“KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangannya mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara,” kata KWSP seperti dilaporkan BH

Maklumat lanjut mengenai kaedah permohonan pengeluaran ini dan mekanisme pembayaran akan dibuat oleh KWSP dengan kadar segera.

Terdahulu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata butiran mengenai pengeluaran khas simpanan persaraan KWSP sehingga RM10,000 akan diperincikan dalam masa terdekat.

“KWSP juga akan mengumumkan langkah-langkah perlu bagi menangani isu dana persaraan ahli-ahli KWSP yang telah berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan.

BERITA BERKAIT
POPULAR