RM1.2 juta wang pengurus dalam Tabung Haji, Bank Rakyat lesap

Seorang pengurus syarikat kerugian lebih RM1.2 juta selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket “Macau Scam” oleh seorang individu yang menyamar sebagai wakil daripada sebuah syarikat insurans pada Oktober tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Superintendan Elias Omar berkata mangsa, seorang wanita berumur 46 tahun berasal dari Kulim itu menerima panggilan telefon daripada individu bernama “Sabrina” daripada Syarikat Insurans Etiqa yang meminta mangsa membuat pembayaran polisi berjumlah RM70,000.

“Mangsa yang menafikan pembelian polisi insurans itu kemudiannya telah diminta membuat laporan polis serta talian mangsa telah disambungkan ke Balai Polis Pudu. Mangsa telah bercakap dengan tiga individu yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Adam, Inspektor Mazlan dan Inspektor Yong.

“Individu berkenaan telah memaklumkan bahawa terdapat waran tangkap terhadap mangsa kerana terlibat dalam jenayah penggubahan wang haram dan kes pembunuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bernama memetik Elias sebagai berkata mangsa kemudiannya dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bernama ‘Puan Mastura’ bahawa dia membuat penangguhan waran tangkap namun mangsa perlu memberi kerjasama kepada pihak polis dan melaporkan aktiviti hariannya.

“Hasil siasatan mendapati, mangsa mengaku telah mendedahkan maklumat akaun bank dan kad kredit Bank Islam dan Bank Rakyat miliknya kepada suspek selain mendedahkan jumlah wang yang ada di dalam setiap akaun bank termasuk akaun Tabung Haji yang berjumlah lebih kurang RM1 juta.

“Suspek telah mengarahkan mangsa membuat pindahan dari akaun Tabung Haji ke akaun Bank Islam sebanyak RM900,000 dan Bank Rakyat sebanyak RM200,000.

“Mangsa sedar dirinya ditipu apabila membuat semakan ke atas dua akaun miliknya pada 11 April lalu dan mendapati wang telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga berjumlah lebih RM1.2 juta,” katanya.

Elias berkata mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Lunas, Kulim, semalam dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis ingat menasihatkan masyarakat supaya jangan sesekali percaya dengan sebarang panggilan yang diterima mengaku dari mana-mana jabatan kerajaan atau institusi kewangan.

Sebelum membuat sebarang pembayaran semak status akaun di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my>semakmule atau menghubungi CCIS Response Center di talian 03-26101559/1599,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR