RIUH Keluarga Malaysia hebat dengan pengunjung berdangdut langgar SOP

Dengan iringan irama dangdut lagu ‘Yang Penting Happy’ konsert sempena program RIUH Keluarga Malaysia edisi pertama anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), mendapat sambutan meriah pada edisi sulongnya di Ayer Hitam, Johor, bermula 3 Mac hingga semalam.

Program itu diadakan selama tiga hari sehingga Sabtu yang bertujuan memperkasa dan mendukung usahawan kreatif serta pengamal seni tempatan.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata aktiviti seni kreatif mampu mengubati jiwa negara yang terkesan dengan pelbagai cabaran berikutan pandemik Covid-19.

RIUH Keluarga Malaysia bertujuan menghimpun usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan daripada 12 cabang industri kreatif yang merangkumi muzik, filem, fotografi, animasi, seni persembahan, sastera, rekacipta, kraf dan seni tradisional, seni kulinari, seni visual, fesyen dan pendidikan kreatif.

Bagaimanapun, susulan tular klip video yang menunjukkan muda mudi sedang berdangdut pada konsert program RIUH Keluarga Malaysia itu, polis Johor mula menjalankan siasatan kerana dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat pada sidang media di Johor Bahru hari ini, pihaknya akan mengenal pasti penganjur program yang menyajikan aktiviti persembahan pentas hingga mendorong pengunjung kepada ketidakpatuhan SOP Covid-19.

Katanya polis sedang meneliti satu rakaman video tular berkaitan program berkenaan setelah menerima maklumat.

Menurutnya polis difahamkan video berkenaan mengandungi aksi sekumpulan pengunjung yang berseronok termasuk menyanyi dan menari tanpa mempedulikan penjarakan fizikal mahupun faktor keselamatan.

“Kami tidak menerima laporan rasmi namun berdasarkan maklumat diperoleh, perkara seumpama itu tidak harus berlaku.

“Dalam keadaan seumpama ini (pandemik) jangan wujudkan ketegangan, tak boleh buat pesta dan sudah tentu ia bercanggah dengan SOP,” katanya sambil menjelaskan siasatan dilakukan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Video yang tular malam tadi menunjukkan sekumpulan pengunjung jelajah Program RIUH EK! Keluarga Malaysia di Ayer Hitam, Johor bersuka-ria tanpa menghiraukan SOP dan risiko jangkitan Covid-19.

Johor akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac ini dengan pengundian awal pada Selasa 8 Mac.

BERITA BERKAIT
POPULAR