Risiko miokarditis selepas vaksin

Di Amerika Syarikat, 8.7 juta kanak-kanak sudah divaksin. Hanya 11 hingga 12 kes melibatkan kes myocarditis dan kesemuanya telah pulih. Di Singapura pula, lebih 20,000 kanak-kanak telah mendapat suntikan dengan tiada kematian dicatatkan.

Justeru, ibu bapa yang mempunyai anak yang mempunyai alahan teruk perlu dirujuk kepada doktor terlebih dahulu sebelum mengambil vaksin.

Ini kerana sama ada ibu bapa setuju atau tidak, vaksin dalam kalangan kanak-kanak perlu dipandang serius. Lihat, bukan sahaja di Malaysia, malah peningkatan kes positif Covid-19 turut berlaku di beberapa buah negara di seluruh dunia.

Artikel daripada Johns Hopkins Medicine, Amerika Syarikat (AS) mendedahkan, varian Delta memainkan peranan dalam peningkatan kes positif. Virus tersebut juga boleh dihantar dengan mudah oleh kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak divaksinasi. Budak kecil terutamanya boleh mengalami komplikasi sindrom keradangan yang memerlukan penjagaan rapi atau mendapat gejala berpanjangan.

Namun, jika vaksin diambil, ia mengurangkan peluang virus untuk bermutasi kepada varian baharu yang mungkin lebih berbahaya.

Menurut  Pakar Pediatrik, Pantai Hospital Penang,  Dr Angeline Swee Kim, miokarditis telah diiktiraf sebagai komplikasi jarang vaksinasi mRNA penyakit coronavirus 2019 (Covid-19), terutamanya pada golongan lelaki dewasa muda dan remaja.

“Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, kadar miokarditis ialah 12.6 kes setiap juta dos vaksin mRNA dos kedua dalam kalangan individu berumur 12 hingga 39 tahun. Hanya orang yang mempunyai sejarah tindak balas alahan yang teruk kepada mana-mana komponen vaksin tidak boleh mengambilnya. Vaksin Covid-19 disyorkan untuk dan boleh diberikan kepada kebanyakan remaja dengan keadaan perubatan yang mendasari.

“ Justeru orang ramai perlu berhati-hati terhadap simptom seperti sakit dada, sesak nafas, perasaan jantung berdegup kencang, berdebar-debar atau berdebar-debar. Gejala biasanya bermula hari pertama hingga keenam selepas pemberian vaksin (kebanyakannya selepas dos kedua),” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan jika orang ramai mengalami simptom tersebut, jumpa doktor dengan kadar yang segera.

“Miokarditis atau perikarditis merupakan satu kondisi yang sukar untuk dikesan kerana ketiadaan simptom. Selalunya, simptom yang pesakit alami merupakan tanda penyakit lain seperti serangan jantung.

“Memang ada laporan mengenai kesan sampingan seperti miokarditis dan perikarditis selepas (menerima) vaksin MRNA seperti Pfizer atau Moderna dalam kalangan lelaki remaja dan bawah 30 tahun.

“Biasanya (kes ini) selepas seminggu pertama vaksinasi dos kedua. Tapi bilangan (kes seumpama itu) kecil. Hanya kira-kira 0.001 peratus daripada penerima.

“Setakat data yang kita terima dari seluruh dunia, kebanyakan kes yang dilaporkan (di kalangan remaja yang menerima vaksin mRNA) adalah (kesan sampingan) ringan dan sembuh dengan cepat selepas rawatan ringkas,” katanya.

Katanya lagi, vaksinasi Covid-19 penting untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada virus, terutama di saat kebanyakan golongan dewasa sudah menerimanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, elakkan melakukan senaman berat selepas menerima vaksinasi. Jika boleh, berehatlah sehingga anda benar-benar sihat.

Walaupun kesan sampingan serius amat jarang berlaku, Dr. Angeline berkata,  ibu bapa dan anak akan diberikan taklimat berhubung tanda yang perlu diperhatikan setelah mendapat vaksin.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menasihatkan golongan remaja agar tidak melakukan kerja fizikal berat seperti kegiatan sukan selama antara dua hari hingga seminggu selepas menerima suntikan.

Dr. Angeline memberitahu,  banyak kes miokarditis yang dilaporkan di Amerika Syarikat dipercayai melibatkan kegiatan seperti itu selepas vaksinasi.

“Nasihat ini bukan untuk remaja sahaja tetapi sesiapa sahaja. Mereka patut elak kegiatan berat selama kira-kira seminggu.

“Untuk kanak-kanak, kita nasihatkan (rehat) antara dua hari hingga seminggu.”

Sementara itu, penerima vaksin juga dinasihatkan agar tidak mengambil ubat seperti paracetamol dan ibuprofen  untuk mengelakkan kesan seperti kesakitan dan demam – sebelum disuntik.

Beliau berkata, ubat-ubat itu hanya perlu diambil jika individu mengalami sakit atau demam selepas suntikan.

“Garis panduan untuk tak ambil (ubat) untuk elak sakit dan demam bukan untuk vaksin Covid-19 saja, tetapi semua vaksin.

“Sebab ia mungkin sebabkan vaksin tak beri kesan terbaik,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR